PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad dalam proses membantu kira-kira 108,936 akaun dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak hampir RM12.63 bilion di bawah Pakej Bantuan Pembayaran Pemulih yang diterima sejak 7 Julai lalu.
Jumlah ini melibatkan seramai 108,846 pelanggan individu dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak RM12.6 bilion dan 90 permohonan daripada pelanggan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melibatkan hampir RM29.43 juta.
Sebagai sokongan kepada pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang dilancarkan kerajaan, Bank Islam menawarkan pilihan moratorium selama enam bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus untuk tempoh sama kepada pelanggan yang layak.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata pihaknya mengalu-alukan langkah yang diambil Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan Islam dalam menangani impak Covid-19 terhadap kelangsungan hidup rakyat.
Ujarnya, bantuan pembayaran tersebut memberikan kelonggaran kepada komitmen kewangan pelanggan buat sementara waktu dan memberi ruang agar mereka dapat menyemak semula kedudukan kewangan masing-masing.
“Bank sentiasa proaktif berurusan dengan pelanggan untuk mengenal pasti keperluan mereka serta menyediakan sokongan diperlukan bagi membantu mereka membuat keputusan bermaklumat yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Selain itu, Bank Islam turut menawarkan program Penjadualan dan Penstrukturan yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan bagi pelan bayaran berpatutan,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Muazzam menambah, bank mengakui pandemik memberi kesan berbeza kepada setiap pelanggannya tambahan pula perintah kawalan pergerakan yang berpanjangan akan turut menjejaskan aktiviti ekonomi.
“Sebagai Bank yang Mendahulukan Kemakmuran semua, kami komited untuk menyokong daya tahan pelanggan dalam menguruskan komitmen kewangan mereka terutamanya dalam tempoh tidak menentu ini.
“Kami menggesa pelanggan yang memerlukan sokongan untuk menghubungi kami dan menyatakan pilihan bantuan yang diperlukan. Jangan bimbang, kakitangan Bank Islam amat dedikasi dan bersedia menjawab persoalan anda pada bila-bila masa,” tegasnya. – UTUSAN










