PETALING JAYA: Pembangunan Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan akan dipergiatkan dengan pelaksanaan dan penambahbaikan infrastruktur bagi meningkatkan keupayaannya menjadi pusat pertumbuhan perdagangan serantau.
Menurut Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Kerajaan Persekutuan melalui pihaknya dan Kerajaan Negeri Kelantan akan menumpukan usaha kepada pembangunan di Tok Bali bagi memacu pertumbuhan sosioekonomi negeri itu.
Usaha itu katanya, termasuk pelaksanaan pelan transformasi yang bakal menyaksikan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur bagi menyokong kegiatan hiliran.
“Ini akan menggalakkan penyertaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan di dalam pengeluaran produk berasaskan ikan yang bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Jelas ECERDC, di dalam perancangan adalah pelan bagi mewujudkan sebuah pelabuhan komersial di Tok Bali yang akan membuka sektor ekonomi baharu dan merancakkan ekonomi sempadan di Kelantan.
Di sampung itu katanya, PLANMalaysia juga akan mempercepatkan kajian mengenai impak pembangunan ekonomi di Tok Bali kepada pembangunan ekonomi di sempadan negeri itu.
Dalam pada itu, ECERDC memberitahu, projek pembangunan semula Kampung Laut Fasa 1 terdiri daripada Laman Warisan Serunding Kampung Laut akan diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada September ini dan dijangka beroperasi Oktober membabitkan 11 usahawan serunding tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pembangunan Kampung Laut bakal menjadikan lokasi itu pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi ‘wajib dikunjungi’ di Kelantan.
“Kompleks ini, yang menyediakan ruang niaga bagi peniaga serunding tempatan akan meningkatkan aktiviti pelancongan di Kampung Laut dan sekali gus memberikan kesan limpahan ekonomi kepada rakyat tempatan.
“Dengan siapnya Laman Warisan Kampung Laut, serunding Kampung Laut yang terkenal kini mempunyai alamat yang tersendiri,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat ICC Kelantan, yang dijalankan secara maya.
Pada tahun ini, ECERDC telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM600 juta yang berpotensi untuk mewujudkan 1,836 pekerjaan baharu dan 660 peluang keusahawanan baharu di Kelantan.
Pelaburan terbesar di Kelantan pada tahun ini ialah loji solar terapung terbesar di Asia Tenggara, terletak di Danau Tok Uban.
“Kelantan telah menarik DDI sewaktu pandemik dan ini menunjukkan keyakinan syarikat-syarikat tempatan terhadap daya saing negeri ini sebagai sebuah destinasi pelaburan. ECERDC akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan negeri untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Kelantan,” kata Baidzawi.
habis//










