MPC dijangka kekalkan OPR 1.75 peratus - Utusan Malaysia

MPC dijangka kekalkan OPR 1.75 peratus

KERJASAMA akan mempercepatkan transformasi digital dan integrasi kewangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan mengekalkan kadar dasar semalam (OPR) pada paras 1.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis ini.

Ahli ekonomi MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim berkata, MPC tiada keperluan untuk menurunkan OPR pada masa ini mengambil kira rangsangan fiskal Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang telah diperkenalkan kerajaan bagi menyokong ekonomi negara menghadapi suasana mencabar ketika ini.

Kata beliau, jangkaan itu turut mengambil kira keputusan kerajaan melonggarkan sekatan ekonomi dengan membenarkan beberapa buah negeri untuk masuk ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kami menjangkakan suasana perniagaan dan aktiviti sosial akan meningkat secara berperingkat di negeri-negeri yang terlibat.

“Secara umumnya, pengurangan sekatan ke atas ekonomi negara serta peningkatan kadar vaksinasi di seluruh negara turut mengurangkan keperluan bagi BNM untuk menurunkan OPR.

“Perkembangan ini memberi gambaran aktiviti ekonomi akan mula dibuka semua secara berperingkat pada masa akan datang seperti yang telah digariskan dalam PPN,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Mui’zz berpandangan, OPR hanya akan diturunkan sekiranya BNM mendapati kesan langsung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ke atas pertumbuhan ekonomi negara adalah jauh lebih teruk berbanding jangkaan awal yang diunjurkan BNM sebelum ini.

Beliau juga tidak menafikan terdapat ruang bagi BNM untuk menurunkan OPR dan sebarang keputusan melonggarkan lagi dasar monetari adalah bertujuan untuk memberi sokongan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Penurunan OPR dijangka akan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman bagi para peminjam dan lebihan duit yang dinikmati boleh digunakan bagi menyokong aktiviti perbelanjaan pengguna.

“Dengan kadar OPR yang lebih rendah juga, institusi perbankan pula akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar keuntungan yang lebih rendah dan seterusnya merangsang peningkatan aktiviti dalam negara.

“Peningkatan aktiviti ekonomi seterusnya akan memberi sokongan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

Abdul Mui’zz menjelaskan, kesan langsung daripada perubahan OPR akan memakan masa beberapa bulan sebelum peningkatan aktiviti secara agregat akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Dalam kata lain, keputusan menurunkan OPR hanya akan dibuat sekiranya BNM mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara akan terus menurun atau lebih perlahan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam hingga sembilan bulan akan datang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN