PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terus membenarkan syarikat penerbangan mengekalkan Hak Trafik Udara (ATR) sedia ada tanpa menghadapi risiko tamat tempoh.
Menurut Mavcom, keputusan itu sejajar dengan usahanya untuk menyokong pemain industri penerbangan yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.
Jelas Mavcom, pihaknya kekal dengan dasar melonggarkan satu daripada syarat ATR iaitu pembatalan secara automatik jika ia tidak digunakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan.
“Kelonggaran syarat ini telah berkuat kuasa sejak 5 Jun 2020 bagi memudahkan pentadbiran dan pengawalan seliaan syarikat-syarikat penerbangan, serta membolehkan mereka untuk mengekalkan portfolio ART sedia ada yang aktif,” katanya dalam kenyataan.
Mavcom memberitahu, bagi tempoh suku kedua tahun ini iaitu dari 1 April hingga 30 Jun lalu, pihaknya telah meluluskan 100 peratus permohonan ATR.
Dalam tempoh tersebut, sebanyak 10 permohonan ATR diterima dengan lima daripadanya diperuntukan untuk laluan penerbangan antarabangsa dan bakinya untuk penerbangan domestik.
“Kadar permohonan ATR pada suku kedua tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 58.3 peratus daripada suku pertama, serta pengurangan 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” jelasnya.
MyJet Xpress Airlines Sdn. Bhd. menerima jumlah kelulusan ATR tertinggi iaitu sebanyak tujuh, diikuti AirAsia X, Malindo Airways Sdn. Bhd, dan World Cargo Airlines Sdn. Bhd. yang masing-masing menerima satu kelulusan ATR.
Tambah Mavcom, World Cargo merupakan pemegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) baharu untuk segmen kargo setelah Permit Perkhidmatan Udara (ASP) syarikat tersebut ditukar kepada ASL dan berkuat kuasa sejak 1 April lalu.
“ASL tertakluk kepada perkhidmatan penerbangan berjadual, manakala ASP untuk perkhidmatan penerbangan tidak berjadual,” jelasnya.
Mengulas perkembangan itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, sebagai pengawal selia komersial dan ekonomi industri penerbangan, Mavcom berpegang teguh kepada komitmen untuk terus membantu pemain-pemain industri di waktu yang sangat mencabar ini.
Beliau berkata, keputusan melanjutkan moratorium ATR bagi syarikat-syarikat penerbangan membolehkan mereka bertahan pandemik dan menyokong usaha pemulihan untuk meneruskan perkhidmatan penuh dalam masa terdekat.
“Selain menawarkan fleksibiliti tamat tempoh ATR, Suruhanjaya juga melanjutkan moratorium bagi penguatkuasaan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) serta Kod Perlindungan
Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
“Pada masa yang sama, pihak kami didorong oleh pertumbuhan segmen kargo yang kekal sihat. Perkembangan ini menggambarkan tahap ketahanan sektor yang kukuh dan kemampuan untuk bangkit semula yang meyakinkan. Ini menandakan masa depan yang cerah bagi industri penerbangan,” katanya. – UTUSAN










