PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju).
Menurut Yayasan Peneraju, Mohd. Redzuan telah mempengerusikan mesyuarat LPA pertama pada 13 Julai lalu.
Yayasan itu berkata, pelantikan tersebut diharap dapat mempercepat aspirasi agensi itu dalam memupuk dan membangun modal insan serta menjadikan mereka berdaya saing dalam pelbagai sektor.
“Selain Yayasan Peneraju, Mohd. Redzuan turut menerajui empat badan kerajaan lain di bawah portfolionya iaitu Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).
“Berlatarbelakangkan sebagai jurutera awam terlatih, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan dan keusahawanan, yang mana beliau pernah berkhidmat di beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa. Beliau juga sebelum ini merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Yayasan Peneraju merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan TVET, profesional dan pakar.
Selain itu, Yayasan Peneraju turut mengumumkan pelantikan ahli LPA lain iaitu Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen sebagai Timbalan Pengerusi; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud serta Pengerusi Universiti Heriot-Watt Malaysia, Datuk Yasmin Mahmood.
“Saiful Anuar kini merupakan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPE) di Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Bukan Eksekutif di Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).
“Beliau dijangka dapat menyumbang pengalaman luasnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran, sumber manusia dan pembangunan sektor awam termasuk bertanggungjawab menyediakan Kajian Separuh Penggal untuk Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), iaitu mengenai pembangunan dan kesejahteraan inklusif, pembangunan wilayah dan modal insan.
“Yayasan Peneraju optimis bahawa dengan pengalaman dan pengetahuan luas ahli LPA baharu bersama dengan majlis penasihat industri, rakan strategik, pengurus dan rakan program serta institusi pengajian, program yang akan dilaksanakan akan terus memenuhi permintaan industri dan menyediakan peluang berpendapatan tinggi kepada semua segmen bakat bumiputera,” katanya. – UTUSAN










