
Strategi pemasaran sentiasa berkembang seiring perubahan teknologi dan trend gaya hidup masyarakat. Dengan kemajuan teknologi yang kita kecapi hari ini, Malaysia turut menerima impak peralihan budaya pasaran yang terus berkembang ke arah digitalisasi. Krisis pandemik juga turut menjadi faktor yang memaksa perubahan cara hidup masyarakat terhadap teknologi digital secara drastik.
Perubahan ini turut mempengaruhi sektor perniagaan dalam mengadaptasi transformasi digital sebagai elemen untuk terus berdaya maju. Atas faktor tersebut, terdapat asas pemasaran yang perlu diberi perhatian oleh usahawan dan organisasi perniagaan dalam memperkukuh potensi pasaran. Mengenalpasti kelebihan dalam setiap integrasi digital berdasarkan kemampuan syarikat serta kesesuaian pasaran dapat membantu perniagaan terus berkembang dalam arus digitalisasi.
MENGENALI POTENSI PLATFORM DIGITAL
Secara umum terdapat tiga landasan digital yang kekal relevan dalam perkembangan digitalisasi iaitu laman sesawang, media sosial dan Marketplace. Ketiga-tiga platform ini memerlukan pendekatan berbeza, namun terkait dalam menjana impak pasaran dengan berkesan.
Laman sesawang berfungsi sebagai platform rasmi dalam mengetengahkan maklumat syarikat merangkumi profil, portfolio, produk atau perkhidmatan, artikel blog serta perhubungan kepada umum dengan penerampilan yang profesional. Ia juga boleh dilengkapi halaman e-dagang bagi memudahkan urusniaga secara dalam talian. Laman sesawang mempunyai kelebihan dalam meneroka potensi pasaran digital secara organik dan berbayar melalui enjin carian serta media sosial.
Pemasaran media sosial juga terus relevan sebagai corong jualan dalam memperkukuh engagement pasaran. Penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube merupakan pilihan popular di Malaysia dalam menyokong pelbagai aspirasi perniagaan. Setiap perniagaan juga perlu memastikan integrasi media sosial yang bersesuaian dalam membina perhubungan pelanggan.
Selain itu, dengan peningkatan pengguna terhadap pembelian dalam talian, Marketplace turut menjadi landasan pilihan dalam memperkukuh prospek pasaran. Ia merupakan laman e-dagang berautoriti tinggi yang menawarkan peniaga memasarkan produk mereka melalui kemudahan premis dalam talian, transaksi dan penghantaran yang kos efektif.
MENGURUS PEMASARAN KANDUNGAN
Pemasaran Kandungan atau Content Marketing merupakan elemen penting dalam memanfaatkan potensi laman sesawang dan media sosial dengan pengisian yang mampu menarik engagement audiens. Berbeza dengan iklan konvensional, ia lebih tertumpu dalam menghasilkan input informasi yang bermanfaat kepada prospek dan pelanggan sebagai pengetahuan, rujukan atau panduan.
Kaedah membangunkan Ppemasaran Kandungan adalah melalui penulisan, infografik dan video yang dikongsikan secara berkala melalui artikel blog dan status media sosial. Sebagai contoh, jika syarikat anda memasarkan produk kecantikan, anda boleh mencipta kandungan artikel, infografik atau video berkaitan tips penjagaan muka melalui pemakanan sihat dan seumpamanya sebagai panduan kepada orang ramai dalam membina kredibiliti pasaran.
Berdasarkan kajian The Content Marketing Institute, kaedah Pemasaran Kandungan terbukti menjana permintaaan pelanggan yang lebih tinggi dan turut meningkatkan kepercayaan pasaran terhadap kredibiliti produk dan perniagaan. Faktor ini juga turut menarik sebahagian besar organisasi melantik khidmat pengurusan kandungan sebagai salah satu pelaburan mengurus aset digital.
KANDUNGAN CIPTAAN PENGGUNA
Kandungan Ciptaan Pengguna atau User-Generated Content’ turut menjadi elemen penting dalam integrasi Pemasaran Kandungan kepada setiap perniagaan. Kaedah ini mengetengahkan faktor kepuasan pengguna melalui testimoni tulen yang dikongsi pelanggan sebagai kredibiliti produk atau perkhidmatan di pasaran.
Selain itu, perniagaan juga boleh mendapatkan khidmat review dan advertorial melalui kolaborasi Pemasaran Berpengaruh (Influencer Marketing) atau menjalin kerjasama strategik bersama Key Opinion Leader sebagai salah satu inisiatif bagi memperluaskan lagi pendedahan produk dan penjenamaan dalam menerobos potensi pasaran digital.
PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










