PETALING JAYA: MBSB Bank telah menyumbang sebanyak RM2.20 juta kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan agensi-agensi yang terlibat dalam membantu komuniti yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19.
Terbaharu, MBSB Bank bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan menyumbang sebanyak 5,000 pek makanan bernilai RM500,000 untuk memastikan bantuan diberi kepada komuniti yang sangat terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).
Menurut MBSB Bank, ia merupakan kerjasama pertama pihaknya dengan Nadma, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Kerjasama itu bertujuan untuk membekalkan makanan seperti beras, minyak masakan, gula, tepung, susu, biskut dan serbuk teh kepada keluarga yang berhadapan dengan risiko kelaparan disebabkan kehilangan punca pendapatan,” katanya dalam kenyataan.
Naib Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, MBSB Bank mengambil berat kesukaran yang dialami oleh keluarga-keluarga terjejas.
“Kami berharap kerjasama ini boleh membantu memperbaiki keadaan dan ia juga bagi mencapai salah satu objektif kelestarian kami dalam memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.
“Kami juga berbangga dapat bekerjasama dengan Nadma yang mempunyai sumber maklumat untuk mengenalpasti keluarga-keluarga ini,” katanya.
Jelasnya, projek lain dilaksanakan oleh MBSB Bank untuk menyantuni komuniti adalah melalui kerjasama dengan Food Aid Foundation (FAF) yang masuk tahun kedua.
“Kerjasama tersebut berjaya mengedarkan lebih 4,000 bungkus makanan kepada komuniti B40 dalam dua bulan terakhir ini dan telah memberi kesan positif terhadap kesejahteraan masyarakat B40 kerana ia diedarkan tepat pada masanya dan berkesan,” katanya. – UTUSAN










