MAG buka tender jual A380 - Utusan Malaysia

MAG buka tender jual A380

TENDER dibuka sehingga 12 Ogos ini untuk penjualan keseluruhan pesawat atau bahagian komponen. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group Berhad (MAG) mengesahkan pelancaran tender penjualan enam pesawat Airbus A380 kepada pihak yang berminat pada 12 Julai lalu.

MAG dalam kenyataan berkata, tender itu dibuka sehingga 12 Ogos ini adalah untuk penjualan keseluruhan pesawat atau bahagian komponen.

“Ini berikutan keputusan kumpulan untuk melepaskan pesawat A380 selepas penstrukturan semula selesai pada Mac lalu.

“Syarikat akan mengikuti proses wajar dalam menilai permohonan oleh bakal pembida dan menjangkakan dapat menyelesaikan penjualan pada suku keempat 2021,” katanya.

Media sebelum ini mendedahkan tender itu dilancarkan melalui anak syarikat milik penuh MAG, MAB Pesawat Sdn. Bhd.

Mei lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Izham Ismail mendedahkan syarikat itu akan mencari jalan untuk menjual pesawat-pesawat tersebut.

Menurut Izham, pengurusan syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB) itu melihat pesawat 380 tidak lagi sesuai dengan perancangan masa hadapannya.

“Kami sedar cabaran untuk menjual pesawat ini namun masih mencari jalan untuk berbuat demikian,” katanya seperti dipetik Reuters 3 Mei lalu.

Dalam laporan sama, Izham turut mendedahkan MAG akan menerima penghantaran pesawat Boeing 737 MAX pada 2024.

Penghantaran tersebut sepatutnya dilakukan pada Julai lalu namun dua kemalangan melibatkan pesawat itu menyebabkan beberapa syarikat penerbangan membatalkan tempahan.

MAG kini dalam proses menstrategikan semula perniagaannya untuk menjadi kumpulan penerbangan global yang mampu menyediakan semua keperluan penerbangan, bukan sekadar  tertumpu kepada perniagaan penerbangan.

Syarikat itu menjangkakan hasil bukan penerbangannya meningkat 60 peratus kepada RM4 bilion menjelang 2025.

Melalui proses penstrukturan semula hutang, syarikat itu berjaya menjimatkan liabiliti berjumlah RM15 bilion dan mengurangkan kos sehingga RM4.2 bilion menerusi potongan  rangkaian dan penjimatan.

Selepas mengalami kerugian besar akibat pandemik, syarikat itu menjangkakan akan mencapai kapasiti kirakira 63 peratus daripada tahap sebelum krisis menjelang hujung tahun ini dan mengatasi kerugian serta mencapai aliran tunai positif pada 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN