PETALING JAYA: MeDKAD Sdn.Bhd. melancarkan produk kit ujian kendiri rapid antigen Covid-19, SALIXIUM (sampel calitan air liur/hidung).
Menurut MeDKAD, ia merupakan produk buatan Malaysia pertama dari jenisnya dan telah diluluskan untuk penjualan oleh Kementerian Kesihatan.
Katanya, SALIXIUM menggunakan teknologi immunoassay aliran lateral untuk mengesan antigen SARS-CoV-2 dalam spesimen swab air liur dan dinding bahagian dalam hidung.
“Ia boleh digunakan oleh makmal perubatan atau pekerja kesihatan bagi ujian tempat rawatan (point-of-care) dan ujian kendiri oleh umum di rumah,” katanya dalam kenyataan.

Pengurus Projek MeDKAD, Syahriah Razak, SALIXIUM menggunapakai teknologi imunokromatografi untuk mengesan kehadiran antigen SARS-CoV-2 di dalam spesimen swab air liur dan hidung.
“Ujian mudah ini mengambil masa dari 10 hingga 15 minit untuk keseluruhan proses dan hasil ujian dilihat daripada kawasan garis ujian yang mengesahkan kehadiran antigen,” katanya.
Jelas Syahriah, bila spesimen yang mengandungi antigen SARS-CoV-2 ditambahkan kepada pad sampel, ia akan bertindak balas terhadap conjugate (Covid-19 antibodi-gold conjugate) untuk membentuk kompleks, bergerak di sepanjang membran nitroselulosa atas prinsip kapilari dan melekat pada Covid-19 antibodi yang ditetapkan di kawasan garis ujian.
Katanya, kehadiran atau ketidakhadiran antigen SARS-CoV-2 ditentukan dengan kemunculan garis merah jambu-ungu di kawasan tersebut.
“Sekiranya spesimen tidak mengandungi antigen SARS-CoV-2, tiada jalur warna akan muncul dan ini menandakan bahawa ujian adalag negatif. Untuk berfungsi sebagai kawalan prosedur, jalur warna akan muncul di kawasan kawalan produk tanpa mengira kehadiran atau ketiadaan antigen SARS-CoV-2 dalam sampel,” katanya.
Tambah beliau, sebanyak 242 sampel swab calitan air liur/hidung diuji dengan SALIXIUM dan hasil kajian dibandingkan dengan spesimen yang diuji menggunakan real-time RT-PCR yang diluluskan oleh FDA Emergency Use.
“Berdasarkan kepada perbandingan tersebut, hasil ujian menunjukkan bahawa ukuran sensitiviti SALIXIUM adalah 91.23 peratus dan ukuran spesifikasi adalah 100 peratus – iaitu hasil yang amat mengagumkan bagi kit ujian kendiri. Kit ujian ini telah melepasi penilaian berdasarkan hasil ujian makmal yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” katanya. – UTUSAN










