Kerajaan akui sukar capai 6-7.5% KDNK - Utusan Malaysia

Kerajaan akui sukar capai 6-7.5% KDNK

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mengakui unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara enam hingga 7.5 peratus yang diletakkan sebelum ini mungkin tidak dapat dicapai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia berikutan situasi semasa yang dialami sekarang.

Kata beliau, pakar dari Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) juga menjangkakan pandemik Covid-19 tidak akan berakhir pada hujung tahun ini dan semua pihak sedar bahawa pengakhiran pandemik itu masih jauh dari jangkauan.

“Walau bagaimanapun, ketika kita memasuki tahun kedua hidup dengan Covid-19, kita gembira melihat peningkatan dalam pengedaran vaksin.

“Baru-baru ini pada 23 Julai, kita berjaya memvaksinasi lebih 500,000 orang. Kita berharap dapat mencapai imuniti kelompok dalam tiga ke empat bulan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaannya untuk Simposium Ekonomi Tahunan (AES) Ketujuh 2021 yang diadakan secara maya.

Sebelum ini, nada sama turut disuarakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengesahkan Malaysia akan menurunkan unjuran KDNK kepada kira-kira empat peratus dalam temu bualnya bersama Bloomberg TV.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan enam hingga 7.5 peratus pada Mac lalu dengan jangkaan KDNK negara mencapai paras sebelum Covid-19 menjelang pertengahan tahun ini.

Namun, kes jangkitan Covid-19 dalam negara terus melonjak sehingga mencapai paras tertinggi kes harian sebanyak 17,405  kes dan mencapai kes kumulatif mencecah sejuta kes pada 25 Julai lalu.

Dalam pada itu, Mustapa menegaskan, krisis kesihatan dan ekonomi yang dilalui ketika ini semakin menyerlahkan kepentingan integriti dan tadbir urus yang telus bukan sahaja dalam urusan kerajaan, malah sektor swasta dan pertubuhan sivil.

Kata beliau, kekurangan nilai integriti dalam institusi awam dan swasta akan dan telah menjejaskan kekuatan ekonomi negara.

“Wang yang hilang disebabkan penyelewengan dan penipuan ialah dana awam yang boleh digunakan untuk membina kemudahan awam.

“Pembaziran ialah kesan langsung tadbir urus yang lemah dan kekurangan integriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN