PETALING JAYA: Zurich Malaysia mengumumkan pelantikan Junior Cho sebagai Ketua Negara baharu berkuat kuasa serta-merta.
Beliau menggantikan Stephen Clark yang bersara baru-baru ini dan akan melapor kepada Ketua Pegawai Esekutif Asia Pasifik Zurich, Tulsi Naidu.
Menurut Zurich, Junior akan memimpin perniagaan-perniagaan syarikat di Malaysia, memastikan strategi dan penyediaan asas yang betul untuk meningkatkan pengalaman pelanggan serta mengembangkan perniagaan secara mapan.
“Zurich Malaysia beroperasi di dalam empat cabang perniagaan iaitu insurans hayat, insurans am, takaful keluarga dan takaful am.
“Menjadi satu-satunya syarikat multinasional yang memegang kesemua empat lesen insurans dan takaful, Zurich Malaysia menawarkan pelbagai penyelesaian insurans dan takaful di bawah satu jenama yang membolehkan pelanggan mendapatkan perlindungan komprehensif dan sesuai dengan keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Junior juga kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Insurance Malaysia Berhad, jawatan yang dipegangnya sejak 15 Julai 2019 setelah bersama syarikat selama tiga tahun.
Beliau mula menyertai Zurich sebagai Ketua Pengurusan Pasaran bagi insurans am dan takaful am.
Junior memegang ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Columbia di New York. Beliau memulakan kerjaya bersama firma konsultasi global, Accenture di New York, sebelum menceburi industri insurans.
“Sepanjang perkhidmatannya, Junior memainkan peranan penting dalam membina perniagaan segmen am Zurich Malaysia dengan pelaksanaan proposisi strategik, mengukuhkan saluran pengedaran berasaskan perkongsian dan inisiatif pendigitalan untuk memenuhi keperluan ejen dan pelanggannya dengan lebih baik,” kata syarikat itu.
Katanya, Junior mempunyai 30 tahun pengalaman dalam sektor insurans dan perkhidmatan kewangan.
Beliau pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan dalam bidang strategi perniagaan, jualan, pemasaran, pengedaran, pengurusan pelanggan, operasi dan teknologi, termasuk menyelia operasi serantau. – UTUSAN










