Ibu pejabat Lebuhraya PLUS jadi Pusat Pemberian Vaksin Integrasi - Utusan Malaysia

Ibu pejabat Lebuhraya PLUS jadi Pusat Pemberian Vaksin Integrasi

Ibu Pejabat PLUS merupakan syarikat lebuh raya pertama yang membekalkan sejumlah 2,000 dos vaksin jenis Pfizer setiap hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjadi ibu pejabat lebuh raya pertama yang diaktifkan sebagai Pusat Pemberian Vaksinasi Integrasi (PPVI) untuk memberi vaksin kepada 2,000 individu sehari.

Menurut PLUS, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Primer Cherang dan Protech Health, pelaksana pengamal perubatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Jelasnya, Ibu pejabat Persada PLUS telah dipilih oleh Pasukan Badan Bertindak Inovasi Covid-19 (CITF) sebagai satu daripada 14 lokasi imunisasi awam untuk mempercepatkan pemberian vaksin melalui Kapasiti Lonjakan Operasi (Operation Surge Capacity).

Ia untuk memastikan semua orang dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos dan membantu melandaikan lengkuk jangkitan.

AZMAN Ismail bersama Pengarah Klinik Primer Cherang bergambar di ‘instaboard’.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, sehingga Ahad lalu, PICK telah melaporkan lebih 16 juta dos terdiri daripada dos pertama dan kedua telah berjaya diberikan.

Daripada jumlah itu, kira-kira 11.5 juta penduduk telah menerima dos pertama dan lebih 5.4 juta telah divaksin sepenuhnya dengan dua dos.

“Berdasarkan data ini, PLUS berbangga dapat memainkan peranan bagi membantu negara mempercepatkan kadar pemberian imunisasi.

“Lebih cepat kita dapat mencapai sasaran untuk membolehkan kita memasuki empat fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), lebih cepat ekonomi dapat diperbaiki dan perniagaan boleh pulih.

“Saya menggesa anda untuk sentiasa memeriksa dan mengemas kini aplikasi MySejahtera dan siapa tahu, anda mungkin mengunjungi Ibu Pejabat Persada PLUS kami tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.

Azman berkata, penyertaan PLUS itu memberi peluang kepada kakitangannya menyertai pasukan sukarelawan terdiri daripada 150 petugas kesihatan.

Katanya, dalam misi untuk membantu seberapa ramai individu di Malaysia untuk diberi vaksin, ia juga merupakan satu usaha untuk memelihara dan melindungi daripada dijangkiti Coronavirus

Dalam pada itu, Azman menasihatkan semua pihak supaya terus mematuhi SOP jika perlu keluar melakukan aktiviti harian.

“Jika tidak, adalah lebih baik sekiranya anda boleh bekerja dari rumah sehingga divaksin sepenuhnya. Semoga pada masa itu, seperti yang diumumkan oleh kerajaan, anda berpeluang untuk merentas negeri dan daerah di lebuh raya kami sekali lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×