HOC pacu pembelian hartanah - Utusan Malaysia

HOC pacu pembelian hartanah

Menurut institut Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (Refsa), purata harga rumah di Malaysia meningkat 5.6 klai ganda atau bersamaan 460 peratus kenaikan modal, menyebabkan kebanyakan rakyat tidak mampu membeli kediaman. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dilaksanakan untuk terus memacu pembelian hartanah tempatan dalam persekitaran kadar faedah yang rendah walaupun berdepan persekitaran mencabar disebabkan pandemik Covid-19.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pasaran hartanah tempatan pasti merosot dengan ketara jika HOC tidak dilaksanakan.

Menurut beliau, kempen yang meningkatkan pasaran hartanah pada 2019 itu diperkenalkan semula kerana dilihat membantu secara meluas sebagai pemacu dan penggerak industri hartanah sepanjang tahun lalu

Katanya, ia juga memainkan peranan lebih penting untuk membangkitkan minat pembeli hartanah.

“Keputusan mengekalkan insentif tersebut bagi tahun ini sudah tentu menjadi berita baik buat para pembeli.

“Pengecualian duti setem ke atas instrumen pemindahan dan had pembiayaan pinjaman melebihi 70 peratus itu akan memberi manfaat terutamanya kepada pembeli rumah pertama untuk memiliki hartanah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Malaysia 2021 bertajuk ‘Penetapan dan Pembangunan Semula Industri Perumahan dan Hartanah dalam Norma Baharu’ anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) secara maya, hari ini.

ZURAIDA KAMARUDDIN

Zuraida berkata, walaupun berdepan cabaran pandemik, industri hartanah menunjukkan peningkatan dari segi inovasi dan tumpuan yang lebih besar kepada penyelesaian digital.

“Tahun lalu menyaksikan peningkatan ketara inisiatif digitalisasi oleh pemaju hartanah utama yang meningkatkan keupayaan mereka dalam memasarkan produk dan berinteraksi dengan pembeli melalui platform secara dalam talian.

“Interaksi dengan wakil jualan untuk memudahkan transaksi dengan kemudahan yang dipertingkatkan juga merencanakan kaedah pemaju memasar dan menjual unit mereka pada masa depan,” ujarnya.

Ujar beliau, segmen terbesar pembelian hartanah dalam pasaran tempatan kini adalah daripada golongan muda berusia antara pertengahan 20-an hingga akhir 30-an.

“Trend ini dijangka berkembang bermula tahun ini kerana pemaju dan ejen hartanah juga mula memahami serta memanfaatkan kelebihan kehadiran digital yang kukuh sebagai strategi jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN