PETALING JAYA: Indeks FBM KLCI Bursa Malaysia jatuh ke tahap terendah dalam tempoh hampir tujuh bulan apabila ditutup pada 1,532.63 mata semalam.
Ia merupakan mata terendah dicatatkan indeks itu sejak 9 November lalu.
Penganalisis Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, prestasi ekonomi, kadar vaksinasi dan pengendalian kes jangkitan Covid-19 di negara ini akan terus menjadi perhatian pelabur dan memberi kesan kepada prestasi Bursa Malaysia.
Kata beliau, prestasi indeks itu pada bulan hadapan juga akan bergantung kepada trend harian kes Covid-19 tempatan dan sejauh mana kadar vaksinasi dapat dikekalkan supaya Malaysia mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun.
“Kes harian Covid-19 dalam negara yang kekal tinggi sepanjang bulan dengan kes harian terbaharu mencecah 6,276 kes pada 30 Jun telah menyebabkan kegusaran dalam kalangan pelabur mengenai hala tuju prestasi ekonomi negara.
“Tambahan lagi, Bank Dunia telah merendahkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 4.5 peratus untuk 2021, berbanding unjuran enam peratus yang dibuat pada Mac,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Bursa Malaysia ditutup pada 1,532.63 mata semalam, turun 15.68 mata berbanding 1,548.31 mata kelmarin.
Menurut Adam, kaunter yang menyumbang kepada kejatuhan indeks FBM KLCI Malaysia ialah kaunter sarung getah memandangkan kadar vaksinasi yang semakin meningkat di banyak negara.
Menurut beliau, ia menyebabkan para pelabur membuat andaian bahawa permintaan sarung getah sedunia akan berkurangan apabila ramai orang mula divaksinasi.
“Kaunter-kaunter di bawah indeks FBM KLCI yang kelihatan kukuh ialah kaunter kaunter perbankan kerana pertumbuhan ekonomi sedunia pada tahun ini mungkin akan mempengaruhi ekonomi negara secara positif.
“Kaunter perbankan selalumya dilihat sebagai proksi pertumbuhan ekonomi kerana apabila ekonomi berkembang, jumlah pembiayaan yang dipohon akan meningkat,” katanya. – UTUSAN










