PETALING JAYA: Bursa Malaysia mencatatkan untung selepas cukai (PAT) sebanyak RM210.4 juta untuk separuh pertama berakhir 30 Jun 2021, peningkatan 39.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatat RM151 juta.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar, peningkatan itu disebabkan hasil operasi yang meningkat 31 peratus kepada RM420.2 juta daripada RM320.7 juta pada separuh pertama tahun lalu.
Kata beliau, jumlah keseluruhan perbelanjaan operasi pula meningkat 14.9 peratus kepada RM146.1 juta daripada RM127.1 juta, sebahagian besarnya disebabkan kos kakitangan yang lebih tinggi dan perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Bursa mencapai prestasi separuh tahun terbaik sejak penyenaraiannya pada 2005. Pulangan tahunan untuk ekuiti dan perolehan setiap saham yang masing-masing mencatatkan 48 peratus dan 26 sen memboleh Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 24 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, yang boleh dibayar pada 27 Ogos 2021.
“Bursa Malaysia memperuntukkan RM3 juta untuk mendapatkan beberapa peralatan yang amat diperlukan bagi membantu hospital merawat pesakit Covid-19. Ini tambahan kepada RM3.1 juta yang disumbangkan melalui Yayasan Bursa Malaysia kepada projek berfokuskan komuniti di kawasan yang terkesan dengan Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya semalam.
Sepanjang separuh pertama 2021, Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan hasil dagangan daripada Pasaran Sekuriti sebanyak 41.4 peratus kepada RM266.1 juta daripada RM188.2 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi yang lebih baik itu adalah hasil Purata Nilai Dagangan Harian (ADV) yang lebih tinggi sebanyak RM4.4 juta untuk dagangan atas pasaran Pasaran Sekuriti.
Selain itu, peningkatan signifikan dalam perkhidmatan penerbit dan penyenaraian juga disebabkan yuran penelitian dan pemprosesan lebih tinggi yang diperoleh dalam tempoh itu, sementara hasil perkhidmatan depositori sebahagian besarnya diperolehi daripada yuran Rekod Depositor, yuran penerbitan tambahan, yuran Sistem Depositori Pusat (CDS) dan yuran pemindahan yang lebih tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, aktiviti dagangan oleh pelabur runcit kekal kukuh dan menyumbang secara signifikan kepada prestasi Pasaran Sekuriti walaupun dalam persekitaran yang tidak menentu disebabkan pandemik Covid-19.
“Bagi meningkatkan kualiti aktiviti kami dalam pasaran, kami terus meletakkan kepentingan terhadap pendidikan kewangan untuk mengekalkan tarikan pasaran.
“Tambahan lagi, pelbagai langkah bantuan dan insentif diperkenalkan bagi menyokong penerbit tersenarai dalam tempoh yang mencabar ini,” katanya. – UTUSAN










