PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pihaknya telah menerima sebanyak 29 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital setelah tempoh permohonan selama enam bulan berakhir 30 Jun lalu.
Menurut BNM, Permohonan itu dibuat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Katanya, permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital itu melibatkan pelbagai pihak termasuk bank-bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat fintech, koperasi dan beberapa kerajaan negeri.
“Pemohon yang berjaya dan memenuhi kesemua kriteria kehematan dijangka dapat menyumbang ke arah rangkuman kewangan yang lebih luas dengan menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan untuk mengurangkan jurang pasaran bagi golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan.
“Hal ini termasuk menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai dan pada kos yang berpatutan melalui penggunaan aplikasi teknologi yang inovatif.
“Sehingga lima lesen akan dikeluarkan dan permohonan yang berjaya akan dimaklumkan pada suku pertama 2022,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, beberapa pihak telah menyatakan minat untuk mendapatkan lesen bank digital antaranya Petronas, Pertama Digital, BigPay dan AEON Credit.
Menurut laporan di portal rnggt.com, bank digital sebenarnya memiliki fungsi yang hampir sama dengan bank tradisional atau fizikal. Ia akan menawarkan perkhidmatan seperti simpanan kewangan, pengeluaran, pemindahan, bahagian deposit, dan mengetahui aliran data transaksi.
Apa yang membezakan ia adalah penerapan teknologi seperti sistem kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan pelbagai API akan dilaksanakan bagi setiap penawaran perkhidmatan kewangan yang dijalankan pada bank digital tersebut, jelas laporan itu.
“Antara perkara yang menguntungkan menerusi pelaksanaan bank digital ini adalah ia membantu kumpulan yang sering dinafikan hak pinjaman mereka dan membantu perniagaan berskala kecil.
“Usaha ini secara tidak langsung dapat merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan semula keyakinan pemain industri pada pembangunan negara,” jelasnya. – UTUSAN










