Benarkan industri logam, barang lusuh beroperasi - Utusan Malaysia

Benarkan industri logam, barang lusuh beroperasi

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan turut menjejaskan operasi industri barangan lusuh. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Peniaga Logam dan Barang Lusuh Malaysia (MMRA) menggesa pihak kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) lengkap seterusnya membenarkan industri tersebut beroperasi dalam tempoh pandemik ini.

Ini penting agar kira-kira 50,000 peniaga industri berkenaan tidak hilang punca sara hidup dan menyebabkan sektor pembuatan mengalami masalah bekalan, seterusnya mengakibatkan kos produk logam tempatan meningkat dan hilangnya daya saingan dari segi harga di pasaran dunia.

Jumlah pekerja daripada hampir 2,000 syarikat dalam bidang itu adalah termasuk peniaga pengumpulan logam yang boleh dikitar semula, pemborong dan logistik, kilang besi cair hinggalah kilang pemprosesan.

SEAH CHYE NGIAP

Pengerusinya, Seah Chye Ngiap berkata, sejak kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh pada 1 Jun lalu, peniaga logam dan barang lusuh serta industri hulu dan hilir yang berkenaan juga terjejas.

Jelasnya, cuma sebilangan syarikat yang mendapat surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan hanya 10 peratus daripada jumlah pekerja yang dibenarkan bekerja di kilang.

“Sebilangan besar daripada mereka yang mengumpul logam yang boleh dikitar semula adalah daripada golongan B40. Mereka meneruskan kehidupan dengan gaji harian dan disebabkan penutupan operasi, kehidupan mereka terjejas kerana tidak dapat membeli barangan keperluan seperti biasa.

“Kontraktor sampah juga tidak dapat menghantar logam seperti keluli, gangsa dan aluminium ke kilang pemprosesan yang kini tidak beroperasi. Logam ini sangat bernilai dan jika disimpan terlalu lama, kemungkinan akan dicuri serta mengakibatkan masalah keselamatan.

“Selain itu, keadaan ini akan menyebabkan sektor pembuatan misalnya kilang keluli tidak dapat memperoleh bekalan bahan mentah dan terpaksa mengimport bahan mentah dari luar negara. Ini akan menjejaskan ekonomi dan kerugian pertukaran asing serta mengakibatkan kos penghasilan logam meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Chye Ngiap mewakili MMRA mencadangkan pihak kerajaan membenarkan peniaga industri ini beroperasi secara berperingkat, sekurang-kurangnya 30 peratus pekerja dan ditambah dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, kebanyakan ahli MMRA juga giat menyertai Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang dilaksanakan oleh pihak MITI, sanggup membayar untuk suntikan vaksin bagi pekerja mereka.

“Hasrat kami adalah untuk kembali beroperasi secepat mungkin dan menyediakan persekitaran yang selamat kepada pekerja.

“Sejak PKP pertama tahun lepas, peniaga logam dan barang lusuh telah mengalami kerugian melebihi RM1 bilion dan sehingga sekarang masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan,” jelasnya.

Tegas beliau, usaha memerangi pandemik masih jauh dan tidak boleh hanya melihat berdasarkan data yang sering berubah bagi membuat keputusan untuk melaksanakan sekatan atau sebaliknya.

“Kerajaan sepatutnya merangka SOP yang menyeluruh supaya peniaga dapat mematuhinya semasa pandemik dan akan membantu merangsang ekonomi selepas pandemik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN