PETALING JAYA: Belia di negara ini perlu menerokai ekonomi digital, ekonomi gig dan Industri 4.0 (RI4) yang berasaskan teknologi dan digital agar dapat bersaing dengan lebih baik dalam pasaran pekerjaan semasa.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, pasaran pekerjaan ketika ini memerlukan tenaga kerja yang lebih fasih dalam teknologi dan pendigitalan ketika ini.
“Apabila belia dan graduan ramai yang mahir digital dan teknologi maka majikan boleh mengambil pekerja tanpa pejabat serta boleh bekerja dari mana-mana tempat sekalipun.
“Corak dan trend pekerjaan kini sudah berubah dan lebih fleksibel,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, pandemik Covid-19 yang berlaku ketika ini merupakan pengubah keadaan untuk pasaran pekerjaan beralih sepenuhnya kepada platform-platform tersebut.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan masalah pengangguran dalam kalangan belia ketika ini membimbangkan memandangkan kadar pengangguran untuk belia berumur 14 hingga 24 tahun adalah pada 12 peratus, seperti yang dimaklumkan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Menurut Jufitri, situasi tersebut perlu diambil serius kerana belia mengharapkan pembinaan kerjaya, kehidupan dan masa hadapan yang stabil dan jika tidak ditangani sebaiknya, negara bakal kehilangan generasi yang menjadi aset berharga.
“Mereka resah dengan masa hadapan yang tidak menentu. Ia juga boleh menyebabkan masalah mental apabila mereka berasa resah yang berterusan,” katanya.
Berkenaan persaingan dengan pekerja asing, Jufitri berpendapat Majlis Pekerjaan Negara perlu merangka pelan jangka panjang yang lebih jelas dan strategik untuk menangani isu tersebut.
Kata beliau, Covid-19 juga boleh menjadi pengubah keadaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing khususnya dalam sektor kotor, berbahaya dan rumit (3D) namun ia memerlukan perbahasan yang lanjut.
Selain itu, beliau turut berharap kerajaan dapat segera menstabilkan politik dan ekonomi negara supaya lebih banyak pelabur dapat masuk dan menawarkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi mengatasi isu guna tenaga tidak penuh yang turut menjadi dilema dalam kalangan belia.
“Majlis Pekerjaan Negara juga harus melaksanakan dasar RI4 yang dilancarkan baru-baru ini dengan meneroka lebih banyak penciptaan bidang pekerjaan baharu berasaskan teknologi dan digital.
“Belia dan mahasiswa dinasihatkan juga merebut apa sahaja peluang pekerjaan, latihan dan keusahawanan untuk menambah pendapatan, meningkatkan kemahiran dan menambah pengalaman sementara menunggu ekonomi pulih,” katanya. – UTUSAN










