Bangun penyelesaian keselamatan siber - Utusan Malaysia

Bangun penyelesaian keselamatan siber

MAJLIS menandatangani memorandum persefahaman antara TIME dotCOM Bhd., LGSM dan Tecforte bagi membangunkan platform dan perkhidmatan pengurusan keselamatan siber, baru-baru ini. Turut hadir, Ismail Sabri Yaakob (berdiri, kanan). – GAMBAR TIME
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TIME dotCOm Bhd. (TIME) telah menandatangani memorandum persefahaman dengan dua syarikat lain untuk bekerjasama membangunkan platform dan perkhidmatan pengurusan keselamatan siber bagi sektor infrastruktur kritikal.

Dua syarikat terbabit ialah LE Global Services Sdn. Bhd. (LGMS) dan Tecforte Sdn. Bhd. (Tecforte).

Majlis menandatangani MoU itu telah dibuat semasa CYDES 2021 iaitu acara bersepadu pertahanan siber, keselamatan siber dan teknologi memuncul pertama di dunia untuk masyarakat global dan disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad.

Menurut kenyataan bersama syarikat berkenaan, MoU tersebut bertujuan membantu organisasi bersaiz kecil atau besar untuk meningkatkan keselamatan siber dan kesedaran tentang keselamatan siber, seiring dengan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dirangka oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Jelasnya, ia merupakan usahasama untuk merangsang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan mengumpul bakat-bakat teknologi tempatan yang bernilai tinggi serta meningkatkan penciptaan pekerjaan dan pengekalan bakat.

Tambahnya, selain bertujuan mempersiapkan perniagaan untuk pematuhan, platform dan perkhidmatan keselamatan siber yang akan dibangunkan melalui usahasama ini juga akan memberi penyelesaian yang menawarkan akses yang mudah dan menyingkirkan faktor-faktor kos yang menghalang.

Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Perusahaan di TIME, Kit Au berkata, TIME percaya MoU itu akan mencetuskan masa depan yang menarik untuk sektor teknologi, terutama dalam pengkhususan keselamatan siber.

“TIME, LGMS dan Tecforte telah berjaya bekerjasama sebelum ini. Oleh itu, kami yakin platform dan perkhidmatan yang sedang kami bangunkan bersama rangkaian penawaran B2B hiper skala TIME akan menghasilkan penyelesaian yang bermakna untuk pasaran.

“Setelah usahasama ini berkembang dan matang, potensi untuk mengeksport perkhidmatan keselamatan siber ini ke rantau ASEAN boleh dicapai dengan kehadiran rangkaian serantau TIME,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN