Airasia terus perkukuh kedudukan dalam tempoh pemulihan - Utusan Malaysia

Airasia terus perkukuh kedudukan dalam tempoh pemulihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia Group Berhad memperkukuh kedudukan domestik dalam fasa pemulihan bagi suku kedua tahun kewangan 2021 menerusi peningkatan signifikan empat entiti operasi utamanya.

Menurut Airasia, keputusan suku semasa adalah lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu, ketika wabak pandemik Covid-19 bermula seterusnya merencatkan sebahagian besar operasinya.

Ujarnya, bagi prestasi suku ke suku, AirAsia Filipina terus maju dengan peningkatan dua peratus jumlah penumpang dan peningkatan empat titik peratusan (ppts) pada faktor muatan sehingga mencapai 78 peratus, sementara AirAsia Indonesia meningkat 11 ppts untuk tempoh sama.

“AirAsia tetap komited untuk memperkukuh kapasiti domestiknya sementara menunggu perkembangan positif dalam perjalanan udara antarabangsa. Jangkaan kadar vaksinasi yang tinggi di negara-negara Asean menjelang akhir tahun ini memberi keyakinan pada pemulihan yang akan datang,” menurut syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam kenyataan.

Operasi AirAsia Malaysia tetap terkawal kerana sekatan perjalanan tempatan dan antarabangsa yang dikenakan mulai Januari 2021.

Namun, AirAsia Malaysia membawa 64 peratus lebih banyak penumpang tahun ke tahun dengan kapasiti 54 peratus lebih tinggi, seterusnya membantu peningkatan empat ppts faktor beban kepada 64 peratus.

Operasi mendatar itu dijangka berterusan sehingga Malaysia mencapai imuniti kelompok pada suku keempat tahun ini. Kerajaan baru-baru ini telah menetapkan sasaran baharu pengagihan vaksin kepada semua orang dewasa pada Oktober 2021.

Menurut Airasia, dibantu momentum operasi yang berterusan sejak suku pertama lalu, AirAsia Indonesia mencatat pertumbuhan yang besar berbanding tahun lalu.

“Walaupun jumlah penumpang yang dibawa menunjukkan penurunan suku ke suku sebanyak sati peratus, faktor beban meningkat 11 ppt menjadi 67 peratus pada suku semasa berikutan pengurusan kapasiti yang lebih ketat.

“Kadar operasi AirAsia Indonesia adalah sekitar 70 peratus kapasiti domestik pra-pandemik pada Mei lalu dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang kuat sebelum terpaksa memperlahankan operasi pada awal Julai lalu bagi menyokong usaha kerajaan mengawal kadar jangkitan yang terus meningkat,” jelasnya.

Sementara itu, AirAsia Thailand pula melipatgandakan jumlah penumpang dan melaporkan peningkatan faktor beban sebanyak sembilan ppts kepada 61 peratus pada suku semasa, didorong permintaan yang lebih tinggi semasa festival Songkran pada April lalu dan kesan dasar yang rendah pada suku yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pemulihan AirAsia Thailand terbantut berikutan gelombang baharu Covid-19 bermula pertengahan April 2021.

“AirAsia Thailand mencatatkan penurunan suku ke suku sebanyak 26 peratus dalam jumlah penumpang dan paling ketara pada Jun.

“Walaupun begitu, faktor beban tetap kukuh 78 peratus pada bulan sama dipacu oleh pengurusan kapasiti aktif,” kata Airasia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×