PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) bertekad mengambil semua langkah perlu untuk membatalkan Perintah Pelepasan Tahanan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat berhubung hak asasi manusia dan amalan buruhnya.
Langkah itu termasuk melantik juruaudit bebas untuk menjalankan penilaian operasinya terhadap 11 Petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berkaitan buruh paksa, seperti yang dinasihati oleh CBP.
“FGV kini sedang mengemukakan tawaran kepada organisasi berpotensi dan menjangka akan memuktamadkan pelantikan juruaudit bebas pada Ogos 2021, seterusnya membolehkan kerja-kerja penilaian dijalankan dengan segera.
“FGV menjangka akan bakal mengemukakan laporan penilaian berserta cadangan pelan pemulihan FGV untuk pertimbangan CBP dalam tempoh lapan bulan selepas pelantikan juruaudit bebas tersebut.
“FGV mengakui bahawa menegakkan standard buruh adalah usaha berterusan, dan komited dalam memberi keutamaan ke atas usaha untuk memajukan agenda kemampanan dan hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu susulan kepada WRO yang dikeluarkan oleh CBP pada 30 September 2020 terhadap minyak sawit dan produk minyak sawit yang dihasilkan oleh FGV dan anak syarikatnya, serta syarikat usaha sama.
Dalam kenyataan itu, FGV mengulangi komitmen penuhnya terhadap agenda kemampanan dan hak asasi manusia.
Jelasnya, dalam beberapa tahun kebelakangan, syarikat telah memberi tumpuan kepada usaha ke arah memastikan pematuhan terhadap hak asasi manusia dan standard buruhnya.
Tambahnya, usaha-usaha itu telah diperhebatkan sejak awal 2019 terutama melalui kerjasama dengan Fair Labor Association (FLA), yang merupakan program jangka panjang dalam menambah baik struktur dan sistem amalan buruh di FGV. – UTUSAN










