PETALING JAYA: Prestasi Bursa Malaysia dijangka bercampurcampur minggu ini disebabkan keputusan mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB) berkaitan kadar faedah yang bakal mempengaruhi sentimen pasaran.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, selain itu, laporan terkini Jabatan Perangkaan berkaitan Indeks Pengeluaran Perindustrian bagi April yang akan dikeluarkan sedikit masa lagi turut mempengaruhi prestasi bursa.
“Pada masa sama, keputusan Amerika Syarikat untuk menambah senarai nama syarikat dari China yang disenarai hitam
dijangka turut memberi kesan kepada pengeluar cip elektronik dari Malaysia.
“Walaupun pola prestasi pasaran untuk Jun kebiasaannya sedikit positif, beberapa indikator ekonomi seperti unjuran baharu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun ini, impak dari Pemerkasa+ dan juga beberapa situasi ekonomi
global akan menyumbang kepada ketidaktentuan dalam pasaran bulan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menjangkakan, bursa bakal menyaksikan urus niaga berhatihati minggu ini berikutan cuti umum sempena ulang tahun kelahiran Yang di-Pertuan Agong memberikan peluang kepada pelabur untuk melihat petunjuk daripada pasaran saham lain terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun jelasnya, pasaran diunjur pulih dalam jangka masa terdekat, dipacu ekonomi dunia yang lebih baik selain kenaikan harga minyak.
Beliau turut optimis terhadap pemulihan itu berikutan banyak negara barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah serta China dari Asia melaporkan pertumbuhan KDNK yang lebih baik berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Permintaan untuk barangan elektronik juga semakin meningkat berikutan ramai yang bekerja dari rumah turut memberikan kesan positif kepada industri semikonduktor negara.
“Selain itu, syarikat Malaysia dalam sektor minyak dan gas dijangka terus menarik pelabur,” jelasnya.
Menurut Aimi Zulhazmi, sektor pembuatan sarung tangan dilihat menghadapi kesukaran dalam memenuhi keperluan permintaan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang memerlukan perusahaan mengurangkan jumlah tenaga kerjanya.
“Keadaan ini mungkin memaksa pengeluar meningkatkan lagi tahap teknologi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia, terutamanya buruh asing.
“Namun, banyak syarikat lain contohnya industri perkilangan dan hartanah yang turut menceburi sektor pembuatan sarung tangan dijangka terus menarik pelabur asing dan tempatan sekali gus menguatkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar utama sarung tangan dunia,” ujarnya. – UTUSAN










