TNB komited bantu kerajaan - Utusan Malaysia

TNB komited bantu kerajaan

KEUTAMAAN TNB terhadap Pelan Pemulihan Negara termasuk memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited membantu kerajaan menangani kesan krisis pandemik Covid-19 menerusi sokongan dan kerjasama berterusan bagi strategi peralihan keluar yang digariskan di bawah Pelan Pemulihan  Negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, keutamaan TNB terhadap pelan tersebut memfokuskan empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa, melindungi golongan rentan, menyediakan bekalan elektrik yang  stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

“Sebagai syarikat utiliti elektrik negara, kami mengutamakan kestabilan dan daya harap bekalan elektrik kepada hospital, pusat simpanan vaksin (PSV) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020, TNB telah menyumbang lebih RM33 juta bagi tujuan ini dan kini tumpuan diberikan bagi memastikan bekalan elektrik di lebih 40 PSV dan lebih 400 PPV kekal stabil.

“Bagaimanapun, ini tidak menjejaskan komitmen kami untuk menyediakan bekalan yang kukuh dan stabil kepada sembilan juta pelanggan kami. Pasukan operasi kekal menjalankan tugas setiap hari meskipun berdepan risiko, didorong matlamat kami untuk memastikan bekalan elektrik kukuh dan stabil bagi menyinari dan menceriakan kehidupan,” katanya  dalam kenyataan.

Menurut Baharin, pihaknya juga aktif mengambil langkahlangkah perlu bagi memastikan TNB mencapai imuniti kelompok dalam kalangan 35,000 warga kerjanya, selain menawarkan premis-premis kami sebagai pusat pemberian vaksin bagi mempercepatkan kadar pemvaksinan negara. \

“TNB akan memperluaskan lagi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik menerusi pelbagai program  tanggungjawab sosialnya dan usaha sukarela warga kerjanya termasuk program potongan gaji secara sukarela.

“Sejak Januari 2021, TNB telah secara terus memperuntukkan hampir RM9.5 juta kepada lebih 10,000 keluarga yang  terjejas akibat pandemik ini dan akan berterusan menghulurkan bantuan di kawasan-kawasan di mana ia beroperasi di  seluruh negara,” ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang Tempoh Kawal Selia 2018-2020, TNB telah melabur lebih RM7 bilion dalam program  pembangunan vendor yang memberi manfaat kepada ribuan perusahaan kecil dan sederhana.

“Ia satu inisiatif latihan kemahiran semula yang diterajui pusat latihan TNB, ILSAS, bertujuan memberi latihan kepada lebih  17,500 individu menjelang 2024 bagi menyokong proses peralihan tenaga negara.

“Inisiatif-inisiatif berwawasan ini dilakukan bagi memastikan TNB dapat berterusan meletakkan negara dan rakyat dalam  kedudukan yang baik dalam usaha untuk mempercepatkan usaha pemulihan. Untuk kembali ke landasan yang kukuh bagi  mencapai pertumbuhan ekonomi pasca pandemik, kerjasama antara sektor, rakyat dan kerajaan amat penting,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×