PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kelab Duta Rimba menganjurkan Pertandingan Sinar Rimba 2021 bagi memupuk tabiat penggunaan elektrik yang cekap dan berhemah dalam kalangan pelajar.
Pertandingan terbuka kepada murid sekolah rendah dari Tahun 4 hingga Tahun 6 dan pelajar sekolah menengah (Tingkatan 1 hingga 5).
Ia bertujuan mendidik generasi muda untuk mengelakkan pembaziran tenaga dan menjimatkan kos di samping menjaga kelestarian alam sekitar.
Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, penjimatan tenaga elektrik melalui penggunaan secara cekap dan optimum oleh setiap individu adalah langkah terbaik bagi menjaga kelestarian alam sekitar, selain memberikan penjimatan terhadap bil elektrik.
“Kami berharap kesedaran kecekapan tenaga dapat dipupuk lebih awal dalam kalangan murid-murid sekolah. Ini akan dapat mempengaruhi penggunaan tenaga elektrik di kediaman masing-masing dalam jangka masa yang panjang,” katanya dalam kenyataan.
Pelajar yang berminat menyertai pertandingan boleh mendaftar di laman web Kelab Duta Rimba www.jungleambassador.org.
Peserta dengan bantuan ibubapa hanya perlu memuat turun aplikasi myTNB (boleh didapati di Google PlayStore, Apple App Store dan Huawei AppGallery) dan merekodkan bacaan bil elektrik selama empat bulan bermula Mei hingga Ogos 2021.
Pemenang akan ditentukan berdasarkan jumlah penurunan penggunaan tenaga sepanjang tempoh itu.
Maklumat lanjut pertandingan boleh didapati di laman web Kelab Duta Rimba atau dengan menyertai Telegram ‘Sinar Rimba 2021’. Tarikh tutup penyer taan pada 30 Jun ini.
Kelab Duta Rimba diwujudkan bagi mempromosi, mendidik dan menimbulkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan dan kelestarian alam sekitar bagi kumpulan berusia antara 7 hingga 25 tahun. – UTUSAN










