PETALING JAYA: Perkhidmatan penstriman baharu khusus untuk golongan milenial, sooka, menawarkan penstriman percuma dan tayangan atas permintaan siaran langsung aksi sukan dan kandungan tempatan.
Dilancarkn pada Selasa lalu, sooka memberi tumpuan kepada pengumpulan dan penyusunan kandungan seperti siaran langsung aksi sukan global, drama dan program hiburan tempatan.
Menurut Ketua Rancangannya, Emarina Mohd. Kamal, diinspirasikan daripada perkataan `suka’, sooka menyasarkan mengisi kelompangan kebolehdapatan serta akses kandungan tempatan yang disukai oleh golongan milenial dan mudah diakses.
Beliau berkata, sooka tiba pada saat para pengguna hari ini mengamalkan gaya hidup mobile-first dan sudah biasa menonton kandungan di dalam talian.
Katanya, peralihan trend menonton itu telah menyebabkan para pengguna pantas mengamalkan gaya hidup digital ‘norma baharu’, menjadikan kandungan hebat sebagai satu daripada aset digital yang penting.
“Maka, tidak hairanlah kenapa mereka sangat bergantung kepada telefon pintar masing-masing serta aktif di dalam media sosial, dan sentiasa mencari kandungan hebat yang boleh ditonton segera di mana sahaja mereka berada, menerusi peranti mudah alih milik mereka.
“Kandungan sooka dikurasi untuk tontonan segera, pada harga mampu milik serta didatangkan dengan pelan langganan yang mudah, dan kami menjemput semua milenial untuk mencuba sooka,” katanya dalam kenyataan.
Emarina berkata, selain langganan percuma, sooka turut menawarkan dua pilihan pelan mudah lagi mampu milik iaitu pelan VIP+Sports (pada harga RM41.90 sebulan, dengan promosi ketika ini RM15.90 sebulan), dan pelan VIP Entertainment berharga RM15.90 sebulan yang menawarkan kandungan hiburan terbaik di Malaysia termasuk pelbagai drama, rancangan dan filem tempatan.
“Bersempena UEFA EURO 2020, sooka melancarkan promosi istimewa untuk pelan VIP+Sports pada harga pengenalan RM15.90 sebulan mulai 8 Jun 2021, membolehkan para peminat sukan menikmati kesemua 51 perlawanan UEFA EURO 2020 dan lain-lain aksi sukan secara langsung, beserta pelbagai hiburan kegemaran dan siri original tempatan.
“Sebagai alternatif, para pengguna yang berminat untuk hanya menyaksikan pasukan kegemaran mereka sahaja boleh membeli pas tunggal UEFA EURO 2020 pada harga RM7.90 untuk satu perlawanan,” katanya.
Emarina menjelaskan, perbezaan utama sooka ialah kebolehan syarikat menawarkan aksi sukan secara langsung untuk tontonan para peminat sukan di dalam peranti mudah alih mereka.
Ia membolehkan mereka menonton aksi sukan kegemaran mereka pada bila-bila masa, tidak kira di mana sahaja.
“Kami telah menyediakan perancangan kandungan sukan yang mantap hingga ke hujung tahun dan akan terus mengukuhkan portfolio tersebut agar kami dapat terus membawakan yang terbaik untuk para peminat sukan di Malaysia,” katanya. – UTUSAN









