PETALING JAYA: Serba Dinamik Holdings Berhad (Serba Dinamik) merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM112.52 juta bagi tempoh suku kelima tahun kewangan 2021 berakhir 31 Mac 2021.
Bagi tempoh berkenaan, syarikat merekodkan perolehan sebanyak RM1.38 bilion dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) adalah RM127.26 juta.
Menurut syarikat itu, tiada perbandingan untuk suku tahun sebelumnya kerana syarikat telah menukar akhir tahun kewangannya kepada 30 Jun 2021 dari 31 Disember 2020 pada 7 Mei lalu.
Jelasnya, bagi tempoh dilaporkan, segmen operasi dan penyenggaraan (O&M) merupakan penyumbang terbesar kepada perolehan sebanyak RM1.26 bilion atau 90.5 peratus daripada keseluruhan perolehan.
“Ia hasil daripada keputusan kukuh aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan IRM di rantau Asia Barat iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman, diikuti Malaysia.
“Penyumbang kedua adalah segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sebanyak RM99.32 juta atau 7.2 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Tambah syarikat itu, segmen teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pula merekodkan perolehan sebanyak RM30.79 juta atau 2.2 peratus, manakala segmen latihan dan pendidikan menyumbang RM1.61 juta atau 0.1 peratus kebanyakannya daripada Serba Dinamik Education Sdn. Bhd. yang juga dikenali sebagai Universiti Malaysia of Computer Science & Engineering (UNIMY).
Menggulas pencapaian syarikat itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr. Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, ketika segmen O&M dan EPCC kekal penyumbang utama perolehan, syarikat secara agresif memacu perniagaan dalam bidang ICT di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mendesak syarikat untuk terus berkembang dan meneroka sektor-sektor ekonomi yang strategik.
“Syarikat turut secara proaktif melihat peluang-peluang baharu dalam bidang-bidang bukan minyak dan gas,” katanya.
Serba Dinamik sebelum ini mengumumkan telah mengeluarkan tuntutan sivil terhadap KPMG PLT atas dakwaan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori.
Lembaga Pengarah Serba Dinamik kemudiannya memaklumkan telah menerima notis peletakan jawatan KPMG PLT sebagai juruaudit luaran syarikat mengikut Seksyen 281 Akta Syarikat 2016.
Menurut syarikat minyak dan gas itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, pihaknya menerima notis KPMG bertarikh 23 Jun 2021, dan ia berkuat kuasa serta-merta.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menafikan dakwaan bahawa Pengerusi Serba Dinamik Holdings Berhad, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed ada berhubung dengan pihak mereka, seperti dilaporkan sebuah akhbar digital.
Bursa Malaysia dalam kenyataannya berkata, ketika ini, amat penting untuk Serba Dinamik mengambil langkah diperlukan untuk segera melantik penilai bebas bagi menangani ketidaktentuan dan menentukan kebenaran perkara yang dibangkitkan juruaudit luarannya. – UTUSAN










