JASIN: Pembangunan pelancongan di Pulau Besar akan kembali rancak apabila Putra Island Resort dijangka mula beroperasi selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengurus Besar Ledang Properties Sdn Bhd, Muhammad Syarif Abdullah berkata, pihaknya sanggup menanggung risiko untuk membuka resort tersebut walaupun sektor pelancongan di seluruh negara terjejas.
“Kami tidak boleh mengundur diri kerana sudah berbelanja kira-kira RM2.4 juta untuk membaik pulih resort ini yang kosong sejak 2014. Kerja-kerja baik pulih telah bermula sejak Oktober tahun lalu.
“Sepatutnya, resort ini dibuka awal Januari lalu tetapi disebabkan penularan wabak Covid-19 yang belum berakhir dan rentas negeri masih tidak dibenarkan, kita tangguhkan lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Muhammad, pihaknya menyewa resort tersebut daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) kerana melihat potensinya untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan di pulau yang terkenal dengan cerita-cerita mistik berkenaan.
Setakat ini, katanya, kerja-kerja baik pulih sudah siap 90 peratus membabitkan ruang lobi, dua dewan besar, tiga bilik seminar, kafe, kolam renang, landskap, 81 unit bilik dan sebagainya.
“Harga bermalam di resort ini masih belum kita putuskan, mungkin apabila mula beroperasi nanti barulah kita akan tawarkan harga istimewa.
“Kami akan menyediakan bot dari Pejabat Laut Marina Melaka dekat muara Sungai Melaka bagi memudahkan pelancong pergi ke resort yang perjalanannya memakan masa hanya 25 minit ke Pulau Besar,” jelasnya. – UTUSAN









