Potensi besar kerjasama Malaysia-Indonesia jika industri vape dikawal selia - Utusan Malaysia

Potensi besar kerjasama Malaysia-Indonesia jika industri vape dikawal selia

EDY SUPRIJADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia diminta segera memperkenalkan peraturan untuk mengawal selia produk vape di negara ini.

Permintaan itu disuarakan oleh aktivis vape dan perunding industri di Indonesia berikutan banyak syarikat di negara berkenaan berminat untuk mengembangkan perniagaan mereka serta melabur di Malaysia.

Aktivis Vape dan Perunding Industri di Indonesia, Edy Suprijadi berkata, pelaksanaan rangka kerja cukai di negara berkenaan sejak 2018, telah meningkatkan keyakinan dalam kalangan pemain industri dan pengguna terhadap industri vape.

Ini kerana, jelas beliau, peraturan yang lebih jelas dan sokongan kerajaan telah membolehkan perniagaan beroperasi dengan lancar, manakala pelanggan mendapat jaminan penggunaan produk vape yang berkualiti dan memenuhi piawaian keselamatan.

“Hasilnya, sejak memperkenalkan cukai vape di Indonesia, industri ini telah mencatatkan pertumbuhan kira-kira 60 peratus antara 2019 hingga 2020.

“Pada 2019, industri telah berjaya menyumbang hasil cukai berjumlah 500 bilion rupiah (RM150 juta) kepada kerajaan. Malah pada 2020, hasil cukai yang dijana daripada industri bernilai kira-kira 700 bilion rupiah (RM210 juta),” katanya dalam kenyataan.

Edy yang juga bekas Setiausaha Agung Asosiasi Personal Vaporizer Indonesia (APVI) berkata, industri vape di Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan yang setara jika dikawal selia.

APVI adalah persatuan perniagaan Indonesia yang bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam hal cukai vape.

Malah katanya, langkah tersebut juga akan membina landasan bagi kerjasama lebih rapat antara pemilik perniagaan vape di kedua-dua buah negara.

“Ramai di antara kami di Indonesia mengalu-alukan langkah kerajaan Malaysia mengenakan duti eksais ke atas produk vape sejak awal tahun ini. Perkembangan ini merupakan langkah positif ke arah mengawal selia seluruh industri vape di Malaysia.

“Sejajar dengan peningkatan permintaan di Indonesia, beberapa ahli kami kini sedang merancang untuk meluaskan perniagaan mereka ke luar negara. Dengan menetapkan peraturan bagi industri, para pemain industri kami akan dapat meneroka peluang usaha sama dengan industri Malaysia.

“Malaysia ialah sebuah destinasi yang amat sesuai. Selain infrastruktur dan kemudahan yang tersedia, ekosistem industri vape di Malaysia yang mapan merupakan faktor penting bagi pelabur.

“Kami percaya langkah seterusnya yang perlu diambil ialah memperkenalkan peraturan bagi produk vape demi menggalakkan pembangunan industri. Peraturan ini seharusnya turut merangkumi pembuatan dan penjualan e-cecair dengan nikotin yang membentuk sebahagian besar daripada produk yang dijual di Malaysia, Indonesia dan di peringkat global,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya