SH: Program FutureTech 2.0 galak pembangunan inovasi
PETALING JAYA: Petronas mengundang syarikat pemula tempatan menyertai edisi kedua program pemecut teknologinya, Petronas FutureTech 2.0.
Program tersebut bertujuan menggalakkan inovasi dan membangunkan syarikat teknologi pemula tempatan untuk tampil setanding dengan saingannya di peringkat antarabangsa.
Menurut syarikat itu, cabang kerjasama korporatnya, Petronas Ventures akan berkolaborasi dengan dua syarikat milik kerajaan (GLC), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) untuk program kali ini, selain meneruskan kerjasama dengan firma modal kerjasama global, 500 Startups.
Ketua Petronas Ventures, Arni Laily Anwarrudin berkata, melihat kepada kejayaan edisi pertama program tersebut pada 2019, pihaknya menjangkakan prospek yang lebih besar ke arah pembinaan negara bangsa untuk edisi kali ini.
“Kerjasama dengan syarikat-syarikat utama ialah jalan yang tepat untuk terus membina ekosistem syarikat pemula di Malaysia.
“Ia turut menghasilkan impak sosioekonomi yang positif kepada komuniti melalui pendidikan dan pelaburan kemahiran selain memupuk inobasi berpandukan teknologi yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Menurut Petronas, kerjasama yang pertama kali diadakan di Malaysia itu bertujuan untuk memulakansinergi antara kepakaran silang industri dan memaksimumkan impak nilai program tersebut kepada syarikat pemula tempatan.
Katanya, kolaborasi itu akan membolehkan GLC yang terlibat membongkar teknologi yang berpotensi mengubah haluan industri, mempercepat penghasil idea baharu yang boleh membantu mentransformasikan industri tempatan dan dalam masa sama, membolehkan pasukan yang terlibat mencapai pasaran yang lebih besar untuk berkembang.
Syarikat itu turut memaklumkan, tema fokus untuk FutureTech 2.0 ialah Industri 4.0; Kimia Istimewa dan Bahan Termaju; Masa Hadapan Tenaga; Transformasi Digital dan Inovasi Runcit. – UTUSAN










