PETALING JAYA: Berikutan kes wabak Covid-19 yang semakin meningkat dan sekatan perjalanan yang diperketatkan, Petronas menghadapi cabaran yang besar untuk meningkatkan aktiviti perbelanjaan modalnya (capex) ketika ini.
Petronas telah memperuntukkan capex sebanyak RM6.7 bilion pada suku pertama tahun ini, yang menunjukkan penurunan sebanyak 39 peratus berbanding suku keempat tahun lalu, dan 21 peratus lebih rendah pada suku pertama tahun lalu.
Penurunan itu disebabkan oleh kelewatan projek dan permulaan semula aktiviti susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Penyelidik Kenangan Investment Bank Berhad, Steven Chan berkata, jumlah capex itu bertentangan dengan petunjuk awal kumpulan untuk meningkatkan capex tahunannya kepada RM40 hingga RM45 bilion pada lima tahun akan datang.
“Itu akan meninggalkan kesan turun naik, jadi kita mungkin akan menyaksikan tahap aktiviti perlahan yang berterusan untuk kontraktor tempatan buat masa ini,” katanya dalam nota kajiannya semalam.
Namun begitu, Petronas meraih keuntungan bersih RM9.3 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021, lebih tinggi berbanding RM4.5 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Prestasi kumpulan itu disokong oleh pemulihan harga komoditi sejak penularan Covid-19 manakala keuntungan bersih lebih tinggi itu sejajar dengan kos keseluruhan lebih rendah ditanggung oleh kumpulan, yang sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan lebih rendah.
Petronas meraih pendapatan lebih rendah RM52.5 bilion pada suku dikaji, susut 12 peratus daripada RM59.6 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Petronas dalam kenyataannya memberitahu, pendapatan lebih rendah itu disebabkan penurunan jumlah jualan produk petroleum, gas asli cecair (LNG) dan gas asli yang ditambah dengan kesan pengukuhan ringgit berbanding kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan meningkat 13 peratus kepada RM22.9 bilion daripada RM20.3 bilion yang diraih pada suku sama tahun lalu.
Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berada pada RM14.3 bilion, susut 19 peratus dari RM17.6 bilion, kebanyakannya disebabkan inventori lebih tinggi dan jualan lebih rendah.
Setakat 31 Mac tahun ini, jumlah aset keseluruhan Petronas meningkat kepada RM593.8 bilion berbanding RM574.1 bilion setakat 31 Disember tahun lalu, disumbang oleh tunai dan tunai setara lebih tinggi, termasuk akaun terimaan lebih tinggi.
Perbelanjaan modal kumpulan itu berjumlah RM6.7 bilion, kebanyakan untuk projek huluan.
Keputusan kewangan bagi suku pertama 2021 mencerminkan pemulihan dari kerugian selepas cukai berjumlah RM1.1 bilion yang dicatatkan pada suku keempat tahun lalu. – UTUSAN ONLINE










