PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) optimis penjenamaan semula Perbadanan Nasional Berhad dapat memperkukuhkan lagi kedudukan agensi itu sebagai peneraju pertumbuhan industri francais di Malaysia.
Penjenamaan semula itu melibatkan pertukaran akronim dan logo daripada PNS kepada Pernas. Ia turut memperkenalkan logo dan warna baharu yang lebih moden dan segar, melambangkan sokongan yang diberikan Pernas melalui usaha memperkasakan usahawan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, industri francais merupakan satu daripada sektor utama selain koperasi dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yag memberi impak penting dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Selain perniagaan francais, katanya, Pernas juga membangunkan usahawan PKS ke arah francais mampu milik agar lebih ramai bakal usahawan dapat menceburi bidang perniagaan francais.
“Perniagaan francais dilihat sebagai model perniagaan pilihan usahawan memandangkan perniagaan francais ini mempunyai sistem perniagaan yang mudah diikuti dan berkesan dalam membangunkan usahawan tempatan. Saya amat yakin , ia dapat mencapai sasaran MEDAC melahirkan 100 orang jutawan setahun dalam kalangan PKS,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MEDAC, industri francais berkembang pada tahap yang membanggakan dengan peningkatan nilai jualan tahunan sebanyak 17.3 peratus kepada RM13.3 bilion daripada RM11 bilion pada 2019.
Jelasnya, sehingga kini, sebanyak 1,077 syarikat francais berdaftar, daripada jumlah tersebut, sebanyak 68 syarikat francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan berada di 70 buah negara.
Sementara itu, Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd. Edris berkata, sejak 2004 sehingga kini, Pernas telah mengeluarkan pembiayaan hampir RM1.3 bilion kepada lebih 5,500 usahawan dan mewujudkan lebih 34,000 peluang pekerjaan.
“Selaras dengan penjenamaan semula ini, Pernas akan terus agresif membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan termasuk melancarkan dua projek terbaharunya iaitu Projek Xcelerator dan Projek ‘Be Your Own Boss (BYOB)’ pada awal tahun dengan sasaran melahirkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi,” katanya. – UTUSAN










