PETALING JAYA: IIB Ventures Sdn Bhd (IIB Ventures), anak syarikat Iskandar Investment Berhad (IIB) bekerjasama dengan Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC) menubuhkan Pusat Kecemerlangan Robotik (Robotics CoE) dalam usaha untuk mempercepat pertumbuhan IR4.0 di Johor.
Usaha itu sekali gus bagi mengubah Medini Iskandar Malaysia menjadi Hab Digital Selatan dan mengembangkan teknopreneurs serta bakat dalam robotik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad berkata, kerjasama tersebut penting untuk melahirkan 200 juruteknik di Iskandar Puteri dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Sasaran itu akan dicapai menerusi beberapa program berikutnya seperti Hab Inovasi Iskandar dan Zon Robotik (DRZ) Iskandar.
“Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, IIB juga akan memperiap syarikat masuk ke lokasi, akses ke pasaran untuk peluang pengkomersialan, nasihat perkhidmatan untuk pembiayaan, akses kepada mentor industri, mewujudkan kesedaran dan membekalkan fasilitasi peraturan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MTDC, Datuk Norhalim Yunus dan Pengarah Urusan IIB Ventures, Zulfiqar Zainuddin dengan disaksikan oleh Pengerusi MTDC, Tan Sri Abd. Rahman Mamat dalam majlis secara maya.

Sementara itu, Norhalim memaklumkan, Robotics CoE akan menjadi yang pertama dari kerjasama MTDC’s Center of 9 Pillars dengan IIBV di wilayah selatan untuk memperkukuhkan lagi usaha dalam menyediakan platform penyelesaian Industri 4.0 tempatan
Jelasnya, usaha ini dapat membangun, mengembang dan menawarkan perkhidmatan penyelesaian Industri 4.0 yang inovatif kepada pelbagai sektor industri di Johor.
“MTDC mempunyai ekosistem tersendiri dan merupakan syarikat tempatan yang sudah menghasilkan penyelesaian i4.0, termasuk robotik, robot autonomi dan dron yang dapat dikembangkan ke Robotics CoE.
“Kerjasama ini juga akan meningkatkan potensi besar dalam mengembangkan bakat tempatan yang sentiasa bersedia dan membantu mencapai agenda transformasi digital sebagai sebahagian daripada inisiatif utama Iskandar,” ujarnya. – UTUSAN










