Penduduk pedalaman terheret sertai aktiviti penyeludupan - Utusan Malaysia

Penduduk pedalaman terheret sertai aktiviti penyeludupan

AKHBAR SATAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Kesulitan ekonomi dan pemujukan agresif sindiket jenayah mengakibatkan semakin ramai penduduk di kawasan pedalaman di seluruh Malaysia, terlibat di dalam aktiviti penyeludupan, kata Pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE)-Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar, dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada beberapa siri laporan yang menunjukkan peningkatan besar aktiviti penyeludupan rokok yang berlaku dalam kalangan penduduk di pedalaman di sepanjang pesisir pantai Malaysia yang luas dan tidak berpenghuni. Satu kes baru-baru ini, membabitkan rampasan rokok seludup bernilai RM7.66 juta dari jeti kecil di Endau, Johor, pada 11 Jun lalu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Akhbar yang juga profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi,  HELP University dan bekas Presiden Transparency International Malaysia berkata: “Adalah jelas, pandemik Covid-19 dan siri Perintah Kawalan Pergerakan telah memberi impak terhadap kehidupan penduduk di kawasan pedalaman. Mengambil kesempatan daripada situasi tersebut, sindiket jenayah memujuk dan mempengaruhi penduduk kampung supaya menyertai rantaian logistik penyeludupan mereka.”

“Ada antara penjenayah itu berlagak seperti `dermawan’, menyumbang banyak untuk mengubahsuai bangunan keagamaan atau membina kemudahan awam demi ‘untuk memenangi jiwa raga’ penduduk. Bukan sesuatu yang mengejutkan disebabkan ini, nelayan dan petani memilih menyeludup rokok daripada kerja azali mereka.”

Menurut Akhbar, lebih membimbangkan, ada pegawai penguatkuasaan undang-undang yang tamak dan tidak beretika turut terjerumus ke dalam perangkap sindiket ini.

“Sindiket penyeludupan sama ada secara rasuah atau mengugut kakitangan penguatkuasa yang ditempatkan di kawasan pedalaman supaya `menoleh ke tempat lain’ dalam kegiatan penyeludupan. Jika tidak segera dihentikan, ekosistem berbahaya ini memberi ancaman serius terhadap struktur sosio-ekonomi penduduk pedalaman kita,” tambah beliau.

Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menghentikan dagangan rokok seludup di dalam Belanjawan 2021, termasuk mengehadkan transhipmen rokok di pelabuhan khusus, mengenakan cukai ke atas rokok import yang tidak dibenarkan untuk eksport semula dan tidak membenarkan pengeksportan semula rokok menggunakan bot kecil.

Nampaknya, sindiket penjenayah kini menukar strategi dengan menumpukan penyeludupan menerusi kawasan pesisir pantai, tidak lagi pelabuhan, kata Akhbar.

“Langkah-langkah yang digariskan di dalam Belanjawan 2021 mencapai matlamatnya ke satu tahap. Kerajaan hendaklah tegas di dalam melaksanakannya secara ketat kerana sudah ada segelintir pihak mendesak supaya dilonggarkan kawalan berkenaan, terutama berkaitan transhipmen. Tidak wujud alasan untuk melonggarkan kawalan ke atas transhipmen.

“Kerajaan juga telah memperkuatkan penguatkuasaan di sepanjang sempadan negara, khususnya di kawasan yang berisiko wujudnya Lorong Tikus. Bagaimanapun, perisikan dan operasi bersama hendaklah dilakukan dengan sepenuh keikhlasan dan kejujuran demi negara, tanpa sebarang agenda tersembunyi,” kata beliau lagi.

Tambah beliau, dengan sindiket jenayah kini mengubah modus operandi mereka kepada kawasan pesisir pantai, lebih banyak langkah penguatkuasaan hendaklah diwujudkan bagi menghentikan kegiatan penyeludupan.

Katanya, sebagai tambahan kepada penambahan rondaan dan pemantauan, kakitangan penguatkuasa undang-undang hendaklah juga dilengkapi dengan teknologi, keupayaan mengumpul perisikan yang ditambah baik, berterusan mengadakan operasi dan memantau rapat dengan sistem penggiliran diamalkan, sebagai satu cara mengurangkan cubaan merasuah.

“Perbezaan harga antara rokok seludup dengan rokok sah juga hendaklah ditangani kerana inilah satu faktor utama mengapa sindiket jenayah sanggup melakukan apa sahaja untuk membolosi undang-undang Malaysia. Semakin mahal rokok sah dijual di pasaran, semakin besar margin yang mereka boleh raih dan gunakan untuk merasuah lebih ramai orang!.

“Di sebalik krisis berterusan Covid-19 dan perdebatan politik berkaitan pembukaan semula Parlimen, saya menyeru Kerajaan agar kekal waspada dan pro-aktif di dalam memerangi aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan ketirisan di dalam hasil cukai negara dan menjejaskan kehidupan rakyat tidak berdosa di seluruh negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.