PETALING JAYA: Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menandatangani perjanjian perkongsian bagi mengendalikan 23 sesi pendidikan kewangan untuk 35 komuniti PRUKasih pada tahun ini.
Lebih 2,300 individu dijangka mendapat manfaat daripada program itu yang merangkumi pelbagai topik kewangan termasuk pembelanjawanan, perancangan, perlindungan dan dana kecemasan.
Ketua Pegawai Pelanggan dan Pemasaran PAMB, Eric Wong Wai Yuen berkata, Prudential dan AKPK mempunyai misi yang sama bagi memperkasa komuniti supaya berdaya tahan di sebalik cabaran kewangan.
Beliau berkata, bagi membina daya tahan, seseorang itu mesti mempunyai ilmu pengetahuan dan sumber perancangan kewangan yang bijak, namun sumber tidak mudah diakses oleh kebanyakan komuniti berpendapatan rendah.
“Dengan pengalaman AKPK dan pelaksanaan program bersasar, kami telah mengendalikan beberapa sesi pendidikan kewangan pada 2019 dan 2020 untuk beberapa komuniti PRUKasih.
“Selepas mengambil kira maklum balas peserta dan membuat penyesuaian kepada program ini, kami berbesar hati untuk menyampaikannya secara rasmi kepada semua komuniti PRUKasih tahun ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kaji Selidik Tingkah Laku Kewangan 2018 AKPK, mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 menghadapi cabaran kewangan paling besar akibat kesukaran pembinaan simpanan, menyebabkan mereka sangat mudah untuk mengalami kesempitan kewangan sewaktu kecemasan.
Kajian itu mendapati, sebanyak 70 peratus daripada tenaga kerja dewasa terdiri daripada kumpulan yang disebutkan, tidak mampu menampung perbelanjaan selama tiga bulan jika mereka diberhentikan kerja.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, pihaknya sentiasa menjadi penyokong tegar daya tahan kewangan, dan pendidikan kewangan memainkan peranan besar dalam pencapaian daya tahanan itu.
Kata beliau, ia mempu menambah baik tingkah laku kewangan yang membawa kepada kesejahteraan kewangan lebih baik dan ketenangan fikiran.
“Membawa pendidikan kewangan kepada komuniti secara berkesan memerlukan usaha bersepadu. Sejak bertahun-tahun lalu AKPK telah berganding bahu dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memperkasa komuniti dengan pengetahuan dan kemahiran kewangan untuk membina daya tahan kewangan,” katanya. – UTUSAN










