Pemulihan ekonomi negara dijangka perlahan - Utusan Malaysia

Pemulihan ekonomi negara dijangka perlahan

PEMULIHAN ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat terus `diancam' oleh penularan wabak Covid-19 yang sehingga kini masih belum dibendung sepenuhnya. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemulihan ekonomi dijangka lebih perlahan sehingga tahun hadapan dan memberi impak berterusan kepada pertumbuhan negara, kadar kemiskinan, pengangguran dan pendapatan rakyat.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pemulihan ekonomi mengambil masa yang lama disebabkan faktor keupayaan kerajaan dari segi sumber dan faktor global yang mempengaruhi keputusan untuk membuka sempadan serta sektor ekonomi.

Menurut beliau, pakej rangsangan yang dilaksanakan oleh kerajaan memang membantu tetapi ia tidak cukup kerana inisiatif pemulihan harus bersifat komprehensif iaitu melibatkan semua pihak.

“Inovasi dalam penyelesaian masalah juga amat diperlukan kerana negara tidak akan pulih sekiranya masih bergantung kepada penyelesaian yang sama iaitu mengambil hutang dan menyalurkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau diminta mengulas dapatan kajian Jabatan Perangkaan bahawa pandemik Covid-19 menyebabkan kadar kemiskinan negara meningkat kepada 8.4 peratus tahun lalu daripada 5.6 peratus pada 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, impak pandemik itu kepada ekonomi Malaysia telah menjejaskan pendapatan rakyat dan menyebabkan lebih banyak isi rumah terdedah kepada kemiskinan, terutama dalam kalangan B40 dan golongan rentan.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, setakat ini kerajaan telah membelanjakan RM300 bilion menerusi enam program semenjak Februari 2020 termasuk program terbaru iaitu Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus).

“Sedikit sebanyak bantuan kerajaan itu telah mengurangkan impak pendaratan ekonomi yang teruk. Bagaimanapun, perkara itu tidak pernah terjadi sebelum ini, jadi sukar untuk diketahui kedalamannya kerana negara masih lagi dalam proses pembelajaran,” jelasnya.

Mengulas lanjut Aimi memberitahu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang terendah telah dicatatkan pada suku kedua tahun lalu iaitu -17.1 peratus.

Ujarnya, negara dijangka akan mencatatkan KDNK yang lebih baik tetapi mungkin tidak akan mencapai saiz KDNK pada suku kedua 2019 dan akan mengambil masa beberapa tahun untuk mencapai indikator itu.
“Oleh itu, pemulihan ekonomi negara dijangka lebih perlahan dan mungkin akan semakin laju pada suku pertama 2022 sekiranya negara berjaya mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×