fbpx

17 Jun 2021, 1:02 pm

  TERKINI

Pembayaran tanpa tunai untuk semua perkhidmatan kerajaan bermula 2022

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan menerusi inisiatif MyDigital akan memastikan pembayaran bagi semua perkhidmatan kerajaan dibuat tanpa tunai menjelang 2022.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif tersebut akan membawa kepada keselamatan transaksi yang lebih tinggi, penyelarasan lebih baik, komunikasi mengenai inisiatif antirasuah dipertingkatkan serta perkongsian maklumat yang lebih mudah.

“Setakat tahun lalu, sebanyak 60 peratus daripada jumlah kutipan bayaran kerajaan adalah melalui e-pembayaran.

“Saya menyedari usaha Institut Akauntan Malaysia (MIA) untuk memperkukuh kecekapan fungsi kewangan sektor awam serta juruaudit dalaman yang bekerja di audit operasi dan audit kewangan,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan MIA 2021 yang dianjurkan secara maya, semalam.

MyDigital menggariskan rancangan untuk mempercepat pencapaian Malaysia sebagai negara ekonomi maju dari segi teknologi melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Ia adalah satu inisiatif negara yang melambangkan aspirasi kerajaan untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan selain berupaya menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Ujar Tengku Zafrul, kerajaan meneruskan usaha untuk memastikan tadbir urus yang baik, penyampaian perkhidmatan awam lebih cekap dan berkesan di samping mengekang ketirisan, penipuan dan rasuah.

“Sehingga kini, kerajaan menggalakkan pendigitalan dalam pelbagai aspek termasuk pemodenan penyampaian perkhidmatan awam dan usaha membendung rasuah memandangkan tindakan itu akan mengurangkan titik hubungan langsung di antara pihak awam dengan pegawai atau kakitangan kerajaan.

“Kerajaan juga telah beralih kepada sistem kad pengenalan elektronik dan pengesahan identiti secara biometrik yang mempercepat bantuan kerajaan secara langsung untuk memastikan kebolehcapaian, ketelusan dan tanggungjawab.

“Setakat ini, bantuan langsung kebanyakannya dilakukan tanpa menggunakan tunai dengan permohonan dan pembayaran untuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Geran Khas Prihatin (GKP) dibuat secara elektronik dan dalam talian,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE