Pembayaran QR rentas sempadan Malaysia-Thailand - Utusan Malaysia

Pembayaran QR rentas sempadan Malaysia-Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) melancarkan jalinan pembayaran QR rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand.

Di bawah jalinan itu, pengguna dan peniaga di kedua-dua negara boleh membuat dan menerima pembayaran rentas sempadan melalui kod QR secara maya nyata.

Dalam kenyataan bersama, bank pusat itu memberitahu, projek yang bermula pada Jun tahun lalu dijangka siap dalam tiga fasa dengan fasa pertama semalam, berjaya disempurnakan dengan menghubungkan sistem pembayaran runcit masa nyata RPP/DuitNow di Malaysia dan PromptPay di Thailand.

Jelasnya, di bawah fasa pertama, pengguna di Thailand kini boleh menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih mereka untuk mengimbas kod DuitNow QR bagi membuat pembayaran kepada peniaga di Malaysia termasuk transaksi e-dagang rentas sempadan secara dalam talian.

Di bawah fasa kedua pula, pengguna di Malaysia boleh menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih mereka untuk mengimbas kod Thai QR bagi membuat pembayaran kepada peniaga di Thailand.

“Fasa ini dijangka akan disempurnakan pada suku keempat 2021. Fasa terakhir jalinan ini akan diperluas untuk merangkumi kiriman wang rentas sempadan.

“Pengguna di kedua-dua negara akan dapat membuat pindahan dana secara masa nyata dan mudah dengan merujuk nombor telefon mudah alih penerima. Fungsi ini dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2022,” katanya, semalam.

Tambah kenyataan itu, kerjasama tersebut merupakan pencapaian penting dalam inisiatif ASEAN Payment Connectivity yang menggalakkan integrasi kewangan serantau melalui peningkatan kecekapan, pengurangan kos dan pengalaman pengguna yang bertambah baik bagi pembayaran rentas sempadan.

Mengulas kerjasama itu, Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, jalinan pembayaran runcit itu akan meningkatkan kecekapan dan memudahkan lagi pembayaran rentas sempadan melalui penyediaan pengaturan pembayaran yang lebih pantas, lebih murah dan lebih inklusif kepada pengguna.

“Jalinan ini akan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna dan peniaga bagi pembayaran rentas sempadan. Ia juga bertindak sebagai penggerak penting bagi memperkukuh kesalinghubungan dan integrasi kewangan serantau,” katanya.

Timbalan Gabenor BOT, Ronadol Numnonda pula berkata, pihaknya mengakui kepentingan jalinan sistem pembayaran rentas sempadan dan telah berusaha secara berterusan untuk melaksanakan inisiatif seumpama itu.

“Kesalinghubungan ini berlandaskan pada infrastruktur pembayaran domestik kita akan memudahkan aktiviti pembayaran runcit rentas sempadan antara kedua-dua negara semasa dan pasca pandemik. Yang lebih penting, kesalinghubungan ini juga akan memudahkan perdagangan dan e-dagang rentas sempadan, lantas menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan usaha digitalisasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN