Pelan Pemulihan Negara keluarkan negara daripada krisis - MaGIC - Utusan Malaysia

Pelan Pemulihan Negara keluarkan negara daripada krisis – MaGIC

Amiruddin Abdul Shukor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) mengalu-alukan pembukaan sektor secara beransur-ansur seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amiruddin Abdul Shukor berkata, pendekatan empat fasa itu mempunyai peralihan jelas yang direka untuk mengeluarkan negara dari krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Kata beliau, pelan itu menyediakan hala tuju dalam melonggarkan sekatan dan menawarkan jalan ke arah normal.

“Indikator ini yang diunjurkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan data membolehkan kita kembali dengan selamat pada masa yang tepat untuk semua sektor masyarakat.

“Pendekatan bertumpukan maklumat itu membenarkan kita untuk mengutamakan hasil kesihatan, ekonomi dan pendidikan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MaGIC, dalam tempoh ini, pihaknya akan terus mengurus dan menyelaras inisiatif yang diumumkan kerajaan di bawah Belanjawan 2021, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa).

Kata mereka, ia termasuk Sandbox Teknologi dan Inovasi Kebangsaan (NTIS), Geran Padanan Impak Sosial (SIM), Program Perolehan Inovasi Sosial Kerajaan (PPISK), Pemecut Cabaran Inovasi Sosial (SICA) dan pelbagai program membina kapasiti lain untuk perusahaan sosial dan syarikat pemula.

Tegasnya, aktiviti yang dijalankan akan diubah suai dan diutamakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan kerajaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×