PETALING JAYA: OHR Marketing Sdn. Bhd. (Olive House) telah disenaraikan oleh akhbar perniagaan antarabangsa, Financial Times (FT) sebagai 250 syarikat teratas yang mencatatkan pertumbuhan tertinggi di rantau Asia Pasifik dalam FT Asia-Pacific High-Growth Companies 2021.
Penyenaraian itu hasil kajian bersama Nikkei Asia dan firma penyelidikan antarabangsa, Statista.
Presiden Aafiyat Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Olive House, Aidil Azwal Zainudin berkata, pihaknya berbesar hati syarikat itu di tangga kelapan dalam kalangan syarikat-syarikat tempatan.
Secara keseluruhan, syarikat pembekal utama pelbagai produk organik dan alami halal itu berada di tempat ke-250.
Ujarnya, Olive House turut berada ditangga kelapan dalam kategori peruncitan daripada 500 syarikat teratas di rantau Asia Pasifik.
“Dalam kemeriahan menyambut ulang tahun ke-10 syarikat pada tahun ini, antara pelbagai kejayaan yang dikecapi setakat ini, penyenaraian dalam ranking Asia Pasifik adalah yang paling manis.
“Sedekad lalu, kami hanyalah sebuah syarikat milikan tunggal, kini Olivia House telah melalui pertumbuhan yang begitu pesat dan telah menjadi majikan bagi ratusan kakitangan sepenuh masa selain memberi peluang perniagaan kepada lebih seribu pengedar dan ejen jualan di Malaysia, Singapura dan Brunei,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Olive House juga tersenarai dalam Malaysia Growth Champions 2021 yang dianjurkan oleh akhbar tempatan The Star, dengan kerjasama Statista. Syarikat tersebut telah mendapat tempat ke 10 dari 25 buah syarikat selain berada di tempat teratas bagi kategori peruncitan.
Aidil memberitahu, terdapat banyak persamaan antara ranking The Star-Statista dan FT-Nikkei Asia-Statista di mana syarikat berteraskan teknologi paling dominan, menguasai suku daripada kesemua syarikat tersenarai.
“Memandangkan Olive House merupakan wakil tunggal Malaysia di kalangan 16 buah syarikat peruncitan dari seluruh Asia Pasifik dalam senarai FT, pencapaian itu menjadi lebih bermakna.
“Pengiktirafan itu bukan sahaja membanggakan malah mengukuhkan tekad untuk mengembangkan perniagaan kami dari segi portfolio dan dominasi serantau khususnya ke Indonesia, pasaran pengguna terbesar di Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN










