NCIA tarik pelaburan bernilai RM16 bilion - Utusan Malaysia

NCIA tarik pelaburan bernilai RM16 bilion

PENYERTAAN Kedah dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara membantu negeri itu mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan untuk kesejahteraan rakyatnya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini mengumumkan berjaya menarik pelaburan bernilai RM16 bilion sepanjang tahun ini sekali gus bakal mencipta 19,652 peluang pekerjaan di wilayah utara.

Pengumuman tersebut dibuat pada Mesyuarat Majlis NCIA Ke-26 secara sidang video yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada mesyuarat yang sama, Perdana Menteri turut menyaksikan lapan syarikat menyatakan komitmen bagi pelaburan berimpak tinggi di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

NCIA dalam satu kenyataan di sini, memaklumkan, pelaburan yang diterima oleh NCIA dengan kolaborasi Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menurutnya, kejayaan tersebut adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri pada 15 Jun lepas.

“Pelaburan yang diperoleh NCIA pada tahun ini juga adalah bukti kejayaan agensi berkenaan dalam membina ekosistem berdaya tahan yang mendorong pemulihan era pasca pandemik Covid-19 dan pada masa yang sama menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk rakyat.

“Pihak NCIA pada mesyuarat itu juga membuat pembentangan berhubung perkembangan terkini projek-projek sosioekonomi seperti pelan pemulihan Covid-19 dan juga pelaksanaan program modal insan yang bertumpukan kepada pembangunan rakyat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” katanya.

Turut serta pada mesyuarat tersebut adalah Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi negeri-negeri di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas dan Pengerusi SIRIM yang mewakili sektor swasta.

Tambah NCIA, pelaburan yang berjaya diperoleh juga adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Staregik NCER (NCER SDP 2021-2025) dalam usaha menjadikan NCER wilayah ekonomi bertaraf dunia menjelang 2025.

Pada majlis berkenaan juga dua pelabur perintis bersetuju untuk menyuntik pelaburan kumulatif bernilai RM1.55 bilion dalam projek Kedah Rubber City (KRC), iaitu Taman Perindustrian Getah yang pertama di Malaysia.

“Pembangunan kemudahan infrastruktur di KRC kini mendahului jadual dan pelaksanaan projek pelabur akan bermula dari suku keempat (Q4) 2021 dan seterusnya,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pelabur terlibat adalah Hong Seng Industries Sdn. Bhd. sebanyak RM1.5 bilion dan LTS Logistics Sdn. Bhd. pula RM55 juta.

“Secara keseluruhannya, pelaburan oleh kedua-dua syarikat ini dijangka mewujudkan 2,630 peluang pekerjaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×