PETALING JAYA: Konglomerat utiliti, infrastruktur dan pelabuhan, MMC Corp. Berhad menerima tawaran pengambilalihan melalui pengurangan modal terpilih (SCR) pada harga RM2 sesaham daripada pemegang saham terbesarnya, Seaport Terminal (Johore) Sdn. Bhd. (STJSB).
Dalam maklumannya kepada bursa, STJSB milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang memiliki 51.76 peratus atau 1.58 bilion saham dalam MMC mengumumkan hasrat untuk menyahsenarai MMC menerusi SCR dan pembayaran semula untuk 1.47 bilion saham atau 48.24 peratus kepentingan yang tidak dimiliki STJSB.
Bagi melaksanakan pengambilalihan itu, STJSB akan membelanjakan RM2.94 bilion atau RM2 sesaham di bawah SCR. Buat masa ini, modal saham terbitan MMC terbaharu ialah 3.05 bilion saham.
Harga tawaran RM2 mewakili premium 70 sen atau 53.85 peratus lebih tinggi berbanding harga terakhir MMC yang diperdagangkan semalam iaitu RM1.30.
STJSB berkata, SCR itu dilakukan bagi memberikan fleksibiliti kepada STJSB melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membangunkan perniagaan sedia ada dan meninjau peluang baharu tanpa kekangan peraturan dan kos berkaitan penyenaraian.
Katanya, langkah itu juga membolehkan pemegang saham MMC untuk keluar dan mendapat keuntungan daripada pelaburan mereka.
“Tawaran SCR mewakili premium antara 70.94 peratus sehingga 99.54 peratus terhadap harga sejarah saham MMC,” menurut notis tawaran SCR yang ditandatangani oleh Syed Danial Syed Mokhtar.
Katanya, harga saham MMC juga tidak menggambarkan nilai sebenar syarikat yang mempunyai kepentingan pelbagai itu.
Selepas selesai langkah itu, MMC akan menjadi anak syarikat milik penuh STJSB dan akan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia.
Syarikat itu menggantung dagangan sahamnya pada tengah hari semalam bagi membuat pengumuman itu.
Saham MMC didagangkan antara 42 sen sehingga RM2.16 dalam tempoh lima tahun ini.
MMC mempunyai kepentingan dalam beberapa pelaburan strategik termasuk di Johor, Klang dan Pulau Pinang.
Ia juga memiliki kepentingan dalam penjanaan tenaga elektrik. – UTUSAN ONLINE