MARii ERP bantu pacu pendigitalan operasi perniagaan - Utusan Malaysia

MARii ERP bantu pacu pendigitalan operasi perniagaan

MADANI SAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) melancarkan platform MARii Enterprise Resource Planning (MARii ERP) bagi memacu pendigitalan operasi perniagaan, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).

Sistem tersebut adalah platform dalam talian yang membantu syarikat menguruskan fungsi-fungsi utama perniagaan di bawah satu platform termasuk pengilangan, jualan dan logistik, pengurusan stok dan inventori, perolehan serta perakaunan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari berkata, sistem MARii ERP dapat mengautomasi proses pentadbiran manual melalui pendigitalan simpanan rekod, pemusatan maklumat, dan menyatukan pesanan jualan sehingga penghantaran di dalam satu sistem yang dapat diakses dan digunakan oleh pelbagai fungsi di dalam suatu perusahaan.

“Sebagai contoh, pengilang dapat menggunakan sistem bagi membolehkan pasukan jualan menyatukan data jualan yang diguna pakai oleh bahagian pengilangan dalam merancang operasi, inventori dan logistik, seterusnya direkodkan oleh jabatan kewangan dalam masa sebenar.

“Paling penting, sistem ini membolehkan perniagaan mengoptimumkan penggunaan sumber dengan memastikan tenaga kerja, infrastruktur dan peralatan digunakan untuk menambah nilai kepada operasi, sekali gus tidak dibazirkan kepada aktiviti tanpa nilai yang kini dapat dielakkan melalui digitalisasi,” katanya dalam kenyataan.

Madani memaklumkan, pandemik Covid-19 telah mengakibatkan gangguan kepada ekonomi terutama apabila negara perlu memilih di antara nyawa dan kehidupan semasa menguruskannya. 

“Walaupun sesetengah operasi perlu dilakukan di premis perniagaan, banyak PKS mengalami kesukaran melaksanakan kerja dari rumah kerana kekurangan sumber di dalam mendigitalisasikan operasi yang sepatutnya dapat dibuat secara dalam talian.

“Selaras dengan usaha kerajaan ke arah pendigitalan perniagaan, sistem MARii ERP mewujudkan suatu persekitaran operasi perniagaan berdasarkan data dan yang paling penting tidak dikekang lokasi dan kawalan pergerakan selagi terdapat capaian internet,” ujarnya.

Syarikat-syarikat yang berminat memulakan pendigitalan operasi boleh mengikuti pelbagai program anjuran MARii bagi meningkatkan kebolehan dan keupayaan operasi mereka. 

Ini membolehkan mereka memanfaatkan sistem MARii ERP sepenuhnya sebagai latform pusat bagi transformasi digital syarikat.

Di antara program-program itu adalah Technopreneur Development Programme (TDP), MARii Lean Production System (LPS), MARii Industry4WRD Technology Platform (MITP) dan CEO/Owner Growth Mindset Programme (COGMP).

Sistem berkenaan ditawarkan pada kadar langganan yang mampu milik dan MARii yakin boleh membantu syarikat-syarikat mencapai pulangan pelaburan dalam beberapa bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.