Mampu beri nilai tambah kepada Khazanah - Utusan Malaysia

Mampu beri nilai tambah kepada Khazanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir sebagai Pengarah Urusan baharu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dilihat mampu memberi nilai tambah kepada syarikat pelaburan nasional itu dan mengekalkan kedudukan Khazanah dalam ekosistem ekonomi negara.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelantikan itu dilihat sebagai usaha berterusan Khazanah untuk menjadi sebuah dana kekayaan berdaulat yang mampu memberi nilai mampan kepada rakyat Malaysia selain membangunkan aset kewangan dan mempelbagaikan sumber pendapatan untuk negara.

Beliau berpendapat, fokus Amirul Feisal dalam masa terdekat ini adalah memastikan segala perancangan strategi yang dilaksanakan Pengarah Urusan semasa, Datuk Shahril Ridza Ridzuan diteruskan dan ditambah baik jika ada keperluan.

“Ini kerana legasi penting yang ditinggalkan SHahril Ridza adalah memastikan Khazanah sentiasa teguh dari segi kewangan dan pelaburannya walaupun dalam suasana krisis ekonomi yang melanda Malaysia dan dunia.

“Oleh itu, Amirul Feisal harus memastikan Khazanah akan sentiasa memberikan pencapaian pulangan kewangan yang memuaskan dan mampan serta mengintegrasikan pertimbangan pelaburan yang beretika dan bertanggungjawab,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Khazanah mengumumkan pelantikan Amirul Feisal sebagai Pengarah Urusannya bagi mengambil alih tugas Shahril Ridza yang tamat kontrak berkuat kuasa 6 Julai ini.

Amirul Feisal sebelum ini menyertai Maybank sebagai Ketua Kumpulan Perbankan Global pada 2014 sebelum dilantik Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan pada 2016.

Sebelum menyertai Maybank, beliau adalah Pengarah Urusan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) dari 2010 hingga 2014, di mana beliau bertanggungjawab untuk penyusunan semula dan transformasi  perniagaan syarikat tersenarai.

Menurut Ahmed Razman, pengalaman yang dimiliki Amirul Feisal meletakkan beliau sebagai calon yang sesuai untuk menerajui Khazanah.

“Amirul Feisal mampu memberi nilai tambah kepada Khazanah berdasarkan pengalaman dan kemahiran beliau.

“Malahan, pengalaman beliau menjadi Pengarah Eksekutif di Binafikir Sdn. Bhd. yang diasaskan salah seorang bekas Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar memungkinkan sifat kepimpinan dan pentadbiran beliau yang seiring dengan Azman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN