Malaysia sambut baik keputusan mesyuarat OPEC+ - Utusan Malaysia

Malaysia sambut baik keputusan mesyuarat OPEC+

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan menyambut baik keputusan mesyuarat peringkat menteri Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Bukan-OPEC (OPEC+) ke-17 yang dilihat mampu memberi impak positif kepada imbangan dan kestabilan pasaran minyak global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kesepakatan yang dicapai oleh OPEC+ khususnya sejak April 2020 itu dijangka turut membantu mengawal lebihan stok minyak dunia.

Ujarnya, mesyuarat telah membuat keputusan untuk menegaskan kembali komitmen sedia ada Mesyuarat Menteri OPEC+ pada April 2020, yang dipinda pada bulan Jun, September, dan Disember 2020, serta pada Januari dan April tahun ini.

“Penegasan itu adalah untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak dua juta tong sehari (mb/d) secara beransur-ansur pada kadar yang sesuai mengikut keadaan pasaran.

“Mesyuarat juga bersetuju memantau asas pasaran minyak bagi memastikan proses untuk mengimbangi dan menstabilkan pasaran minyak global dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mustapa telah mengetuai delegasi Malaysia menghadiri mesyuarat tersebut yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga Arab Saudi, Yang Amat Mulia Putera Abdulaziz bin Salman Al Saud dan Timbalan Perdana Menteri Persekutuan Rusia, TYT Alexander Novak.

Mesyuarat yang diadakan secara maya itu turut disertai 13 wakil negara anggota OPEC serta 10 wakil negara bukan anggota OPEC. 

Menurut Mustapa, kejatuhan permintaan minyak mentah yang berpunca terutamanya oleh penularan pandemik Covid-19 dan lebihan bekalan yang tinggi telah menyebabkan harga minyak jatuh mendadak.

Namun jelasnya, terdapat tanda-tanda pemulihan pasaran minyak dipacu pelaksanaan program vaksin secara agresif yang membantu proses pemulihan aktiviti ekonomi di beberapa negara. 

“Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan pengguna dan sekali gus melonjakkan semula permintaan minyak.

“Selaras dengan usaha-usaha pemulihan aktiviti ekonomi yang berterusan di Malaysia, permintaan ke atas produk minyak domestik juga telah mencatatkan peningkatan semula kecuali sektor penerbangan. 

“Jika dibandingkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dengan PKP 3.0, pembukaan beberapa subsektor ekonomi telah memainkan peranan dalam membawa kepada peningkatan dalam permintaan minyak,” tambahnya.

Jumlah keseluruhan permintaan minyak mentah dunia pada suku kedua 2020 ialah 83 juta tong sehari dan dijangka meningkat kepada 94 juta tong sehari bagi tempoh yang sama tahun ini. 

Secara purata, harga minyak mentah Brent bagi tempoh Januari hingga Mei lalu mencatat AS$63 (RM259.99) setong berbanding AS$40 (RM165.08) bagi tempoh sama tahun lepas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya