Majuperak Holdings catat untung RM13.45 juta - Utusan Malaysia

Majuperak Holdings catat untung RM13.45 juta

Nizran Noordin,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majuperak Holdings Berhad (MHB) telah mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.52 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021.

Pendapatan untuk suku tersebut turut meningkat kepada RM13.45 juta daripada RM2.17 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Prestasi itu mencerminkan peningkatan berbanding dengan defisit sebanyak RM4.18 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MHB, Nizran Noordin berkata, pihaknya gembira dapat kekalkan momentum dan menunjukkan prestasi lebih baik terutamanya dalam tempoh yang sukar ini.

“Itu kerana kami fokus kepada memperkukuhkan perniagaan utama iaitu pembangunan dan pengurusan hartanah, pengurusan fasiliti serta tenaga boleh diperbaharui yang menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan kami.

“Penyumbang utama dalam pertumbuhan pendapatan syarikat untuk tempoh yang dikaji adalah penjualan tanah berjumlah RM6.12 juta diikuti operasi perlombongan kaolin Kumpulan yang menghasilkan pendapatan sebanyak RM3.51 juta,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, keuntungan syarikat terus disokong oleh perdagangan, penjualan barang serta sumbangan positif daripada hasil pengurusan fasiliti dan projek solar PV.

Ujarnya, melangkah ke hadapan, pihaknya komited untuk menghasilkan nilai yang lebih tinggi dalam segmen perniagaan utamanya dan mengejar peluang yang bersesuaian untuk meningkatkan prospek.

Nizran berkata, dengan untung bersih yang lebih tinggi, pihaknya bersedia untuk terus memberikan pertumbuhan mampan di masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MHB dan Ketua Eksekutif anak syarikat MHB, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak telah mengesahkan sokongan PKNPk untuk memperkukuhkan kedudukan MHB dengan menjadi jambatan antara kerajaan negeri dan MHB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×