PETALING JAYA: Walaupun berhadapan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan sepanjang 2020, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencatatkan prestasi keseluruhan yang mantap pada tahun tersebut.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan tersebut memberikan keyakinan bahawa Khazanah mempunyai kapasiti dan kebolehan yang mencukupi untuk menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19 dan akan terus memberikan nilai yang mampan kepada rakyat Malaysia.
Kata beliau yang juga Pengerusi sayap pelaburan negara itu, Khazanah telah menyumbangkan RM20 bilion kepada kerajaan bagi menyokong usaha bantuan untuk menghadapi pandemik Covid-19, menjadikan keseluruhan sumbangan daripada syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (GLC) kepada Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC (GDRN) sebanyak RM90 juta.
“Jelaslah bahawa kita boleh mencapai banyak perkara apabila kita bersatu dalam ketidaktentuan dan melakukan yang terbaik untuk mengatasi cabaran secara kolektif.
“Untuk itu, saya ingin menyampaikan penghargaan kepada Lembaga Pengarah, pengurusan dan kakitangan Khazanah untuk komitmen tanpa belah bahagi sepanjang tempoh ini dan saya yakin bahawa Khazanah akan terus berdaya tahan serta berazam memenuhi tujuannya untuk manfaat negara,” katanya dalam ucapannya untuk Laporan Khazanah 2020 (TKR2020) yang diterbitkan secara digital hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, Khazanah berjaya meneruskan usaha penyeimbangannya dan dalam masa sama terus memanfaatkan peluang pelaburan yang terbit dari ketidaktentuan pasaran selain dengan cermat menguruskan kedudukan kewangannya.
Kata beliau, kedudukan kewangan syarikat itu terus kukuh pada 2020 dengan hutang berjaya dikurangkan sebanyak enam peratus kepada RM43.1 bilion berbanding tahun sebelumnya sementara perbelanjaan operasi (opex) termasuk sumbangan RM20 juta untuk bantuan pandemik kekal mendatar.
Syarikat itu juga berjaya mengekalkan nilai aset boleh direalisasi (RAV) yang kukuh pada 2.9 kali.
“Kami terus mengorak langkah dalam mempelbagaikan campuran aset Dana Komersial kami pada 2020, memasuki dua tahun dalam amalan pengimbangan semula portfolio.
“Secara keseluruhannya, pelaburan mencecah RM5.6 bilion dibuat merangkumi seluruh kelas aset,” katanya. – UTUSAN










