SIAPA sangka hanya bermula dengan gerai tepi jalan pada 2018, kini jenama Keramat Tea semakin dikenali dan mendapat sambutan menggalakkan sehingga mampu membuka dua cawangan setakat ini.
Walaupun berdepan kesukaran ketika pandemik Covid-19, keadaan itu tidak mematahkan semangat pengasasnya, Muhammad Azhar Mat Zin yang tetap komited dan menyasarkan pembukaan tiga lagi cawangan dalam tempoh dua tahun.
Sasaran itu dikuatkan lagi dengan proses pembukaan cawangan ketiga di kawasan Ampang dalam tahun ini.
Mengimbau titik permulaan perniagaannya, lelaki berusia 32 tahun itu mengambil langkah berani dengan meninggalkan kerjaya tetapnya di sebuah institusi perbankan demi mengejar cita-cita menjadi seorang usahawan.
Ujarnya, walaupun tidak mempunyai banyak pengalaman berniaga, beliau mencuba nasib dengan membuka gerai air di tepi jalan utama AU2, Taman Keramat dengan menu utama, teh ais yang didatangkan dengan pelbagai pilihan topping
seperti boba, cincau dan jeli gula perang.
“Selepas setahun, daripada konsep gerai, kami mengukuhkan lagi jenama Keramat Tea dengan membuka kedai pertama di AU3, Keramat dengan menggunakan modal sendiri. Daripada hanya lima menu air, kami sediakan 18 lagi pilihan kepada para pelanggan.
“Harga air kami bermula dari RM3 hingga RM12 dan didatangkan dengan enam kategori termasuk Classic Series, Cheese
Series, Flavoured Tea, Coffee dan Fruit Tea Series,” ujarnya.
Menurut Muhammad Azhar, proses untuk pelanggan mula mengenali Keramat Tea memakan masa enam bulan.
“Selepas saya menaikkan papan tanda dan mengadakan promosi, semakin ramai pelanggan daripada kejiranan mula mengenali jenama kami dan menjadi pelanggan tetap.
“Kemudian, isteri saya pula mengikuti jejak langkah dengan berhenti kerja sebagai guru untuk membantu saya menguruskan perniagaan ini. Walaupun bermula perlahan, kami dapat melihat potensi Keramat Tea untuk masa hadapan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Namun, kedatangan wabak Covid-19 tahun lalu sudah tentu memberi kesan mendalam kepada Muhammad Azhar dan
menguji keupayaannya mengendalikan perniagaan.
Pada Jun 2020, cawangan kedua Keramat Tea di Setiawangsa baru sahaja dibuka dan beliau sedar perlu mengambil langkah drastik supaya mampu bertahan dalam situasi pandemik, tambahan pula perlu memikirkan nasib tujuh pekerjanya.
“Konsep kedai kami adalah grab and go kerana kami tahu, orang ramai mahukan sesuatu yang mudah dan cepat. Dalam
tempoh pandemik ini juga, kami memfokuskan konsep penghantaran melalui foodpanda dan grabfood,” jelasnya.
Anak muda berjiwa besar ini menyasarkan pembukaan lebih banyak cawangan di sekitar kejiranan, seterusnya mengembangkan perniagaan ke peringkat francais supaya jenama Keramat Tea lebih dikenali di peringkat nasional.
“Dengan membuka lebih banyak cawangan, barulah akan nampak cabaran sebenar dalam memastikan perniagaan ini dapat bertahan. Dari situ baru saya dan isteri akan belajar mengendalikan logistik, kewangan, jualan dan akaun syarikat.
“Misi saya adalah untuk membuka satu cawangan di setiap kawasan kediaman yang dekat dengan komuniti dan pada masa sama, dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda,” ujar bapa kepada dua cahaya
mata itu. – UTUSAN










