Kelebihan Marketplace untuk sektor PKS - Utusan Malaysia

Kelebihan Marketplace untuk sektor PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Istilah Marketplace sudah pasti menjadi satu perkataan yang tidak asing lagi bagi sebahagian besar masyarakat pada hari ini. Kemunculan krisis pandemik sejak lebih setahun lalu juga secara tidak langsung telah merancakkan lagi penglibatan peniaga dan pengusaha meneroka potensi Marketplace sebagai solusi dalam menyokong pengukuhan pasaran.

Implikasi ini juga dicetuskan daripada perubahan trend pengguna yang mula menjadikan Marketplace sebagai landasan pembelian secara dalam talian yang semakin dipercayai disebabkan penawaran harga yang kompetitif dan mudah berbanding pasaran tradisional. Faktor tersebut juga telah mencetus penglibatan lebih ramai peniaga dalam merebut peluang perniagaan melalui platform Marketplace seperti Shopee, Lazada dan pelbagai lagi, sebagai usaha pemasaran produk kepada capaian pasaran dengan lebih kos efektif.

Kelebihan Marketplace juga mampu memberi manfaat yang besar kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. Terdapat beberapa kelebihan ciri-ciri Marketplace yang boleh dijadikan sebagai satu daripada landasan pemasaran digital bagi meluaskan capaian pasaran, memperkukuh penjenamaan dan potensi perniagaan era digital.

PUSAT KOMUNITI PELANGGAN

Platform Marketplace dikunjungi oleh jutaan pelanggan pada setiap hari dengan nilai pembelian yang terus meningkat. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Statista.com mendapati, Shopee menduduki tangga teratas sebagai peneraju Marketplace di Malaysia dan Asia Tenggara dengan mencatatkan lebih 47 juta pengunjung pada suku akhir tahun 2020.

Begitu juga kredibiliti Marketplace lain yang turut mengalami peningkatan jumlah pengunjung yang kebanyakannya sudah mempunyai niat dan motivasi untuk melakukan pembelian. Kekuatan komuniti pelanggan sedia ada ini dapat memudahkan lagi usaha sektor PKS dalam memperkenalkan produk dan membina kepercayaan pasaran melalui reputasi Marketplace itu sendiri bagi menarik lebih ramai pelanggan berpotensi.

AUTORITI ALGORITMA ENJIN CARIAN

Platform Marketplace mempunyai nilai autoriti tinggi di mata enjin carian. Ini bermaksud, setiap carian oleh orang ramai seperti di Google akan turut memaparkan senarai sebahagian cadangan berkaitan produk-produk yang dipasarkan di Marketplace. Ini juga membantu membina pendedahan dan peluang pasaran baru terhadap produk secara organik.

Setiap platform Marketplace juga menyediakan kemudahan statistik data insight bagi membolehkan peniaga mengenalpasti trend pengunjung, memperolehi maklumat pembelian dan berkomunikasi secara langsung dengan setiap pelanggan. Ia turut menjadi landasan kepada perniagaan mengumpulkan pengkalan data pelanggan untuk tujuan pemasaran.

Autoriti Marketplace juga dapat menyokong integrase laman sesawang dan media sosial perniagaaan dalam meningkatkan lagi kebolehpercayaan pasaran digital dengan lebih mampan.

KREDIBILITI TRANSAKSI DAN LOGISTIK

Sehingga hari ini, platform Marketplace menawarkan premis dalam talian atau ‘kedai online’ yang boleh didaftarkan tanpa kos sewaan tapak. Namun, terdapat peratusan komisen yang dikenakan oleh pengelola Marketplace berdasarkan produk yang telah dijual dengan kadar yang amat berpatutan.

Keselamatan pengurusan transaksi dan pembelian juga turut menjadi faktor utama. Kemudahan yang disediakan Marketplace juga membantu sektor PKS dalam menjimatkan kos pengurusan transaksi dan logistik yang lebih terjamin. Oleh itu, setiap perniagaan boleh menumpukan fokus menyediakan produk yang lebih berkualiti pada setiap masa.

Sistem rangkaian penghantaran produk yang strategik dan kos yang lebih rendah juga turut menjadi faktor menarik ramai pengusaha PKS memilih platform Marketplace ini. Proses penghantaran juga boleh dipantau oleh kedua-dua pihak bagi memastikan status penghantaran kepada pelanggan.

Justeru itu, memanfaatkan kelebihan Marketplace adalah landasan strategik dan kos efektif kepada sektor PKS dalam meluaskan lagi potensi pasaran dan memperkukuh kredibiliti jangka panjang perniagaan dalam mendepani arus persaingan era digitalisasi kini dan masa hadapan.

PENULIS adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN