PETALING JAYA: Pemain industri di Malaysia membelanjakan RM2.89 bilion untuk perlindungan alam sekitar pada 2019 iaitu tujuh peratus lebih tinggi berbanding nilai yang dibelanjakan tahun sebelumnya.
Menurut Laporan Perbelanjaan Perlindungan Alam Sekitar 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, prestasi itu sebahagian besarnya dipacu oleh perbelanjaan modal yang meningkat pada kadar pertumbuhan dua digit sebanyak 18 peratus.
Jelas laporan itu, perbelanjaan operasi bagaimanapun mencatat pertumbuhan sederhana iaiu sebanyak tiga peratus bagi tempoh dilaporkan.
“Kaji selidik ini menunjukkan bahawa perbelanjaan operasi merupakan penyumbang terbesar dengan 70.3 peratus, manakala 29.7 peratus dibelanjakan untuk perbelanjaan modal. Perbelanjaan perlindungan alam sekitar telah meningkat 28.6 peratus sejak 2014,” katanya.
Mengulas laporan itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pengurusan pencemaran mendominasi perbelanjaan perlindungan alam sekitar sebanyak RM2,021.2 juta atau 70.1 peratus.
“Manakala sektor perkhidmatan berbelanja sebanyak RM413.8 juta (14.3 peratus) dan pembinaan RM161.2 juta (5.6 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Di peringkat negeri, Johor mencatatkan perbelanjaan perlindungan alam sekitar tertinggi pada 2019 iaitu RM678.5 juta, diikuti Selangor (RM543.5 juta) dan Kuala Lumpur (RM292.6 juta).
Mohd. Uzir berkata, tiga negeri berkenaan menyumbang kepada 52.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan. – UTUSAN










