PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan untuk April terus meningkat dengan pertumbuhan 10.6 peratus iaitu 3.9 mata lebih tinggi daripada 6.7 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu didorong oleh indeks perlombongan yang melonjak 92.4 peratus berbanding 32 peratus pada Mac.
Ujarnya, kenaikan mendadak itu disebabkan oleh kesan asas rendah dan kenaikan berterusan harga komoditi serta bahan mentah akibat pemulihan permintaan global dan pelbagai kekangan penawaran.
“Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan terus meningkat 49.8 peratus berbanding 41.1 peratus pada bulan sebelumnya manakala indeks pembuatan dan bekalan air mencatatkan kenaikan masing-masing 3.5 dan 1.2 peratus. Indeks bekalan elektrik dan gas pula turun 0.8 peratus.
“Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan kenaikan marginal 0.8 peratus pada April 2021 berbanding 0.7 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd. Uzir memaklumkan, semua sektor menunjukkan momentum pertumbuhan iaitu pertanian, perhutanan dan perikanan (2.8 peratus); perlombongan (1.2 peratus), bekalan air (0.6 peratus), pembuatan (0.5 peratus) serta bekalan elektrik dan gas (0.3 peratus).
“Bagi IHPR pengeluaran tempatan tahun ke tahun mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya melonjak kepada 55.8 peratus pada April lalu berbanding 31.8 peratus yang dicatatkan pada Mac.
“Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen turut meningkat 4.8 peratus.
“Selain itu, indeks barang siap mencatatkan negatif 0.7 peratus disebabkan harga semikonduktor yang lebih rendah yang berkaitan dengan komponen elektrik dan elektronik serta kenderaan bermotor.
“Namun, barang siap yang berkaitan dengan produk makanan mencatatkan kenaikan sebanyak 3.8 peratus,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE